Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

KUANTAN – Seramai 50 rakyat Malaysia di Kazakhstan yang dilaporkan sedang bergolak berada dalam keadaan selamat.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya akan menyalurkan maklumat terkini menerusi kenyataan pada pagi esok.

“Bagi mendapatkan maklumat dan bantuan, mereka diminta untuk berhubung terus dengan kedutaan Malaysia di negara itu,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Terdahulu, perintah darurat di Khazakhtan melibatkan bandar raya Almaty dan Mangystau dilaksanakan bermula 5 Januari hingga 19 Januari ini dan perintah berkurung berkuatkuasa bermula jam 11 malam hingga 7 pagi.

Pergolakan di Almaty dikatakan meruncing apabila polis melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah ribuan peserta perhimpunan di bandar terbesar di Kazakhstan itu, selepas perarakan membantah isu harga minyak menjadi di luar kawalan.

Sementara itu, Saifuddin mengumumkan pelantikan Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Randdy Yap Kim Heng sebagai Penasihat Khas Menteri Mengenai Asia Timur dan Pengurus Besar Yayasan Felda, Datuk Mohd Banuri Aris sebagai penasihat kepada Menteri Luar. – MalaysiaGazette