Ibu bapa mencuba uniform sekolah untuk anak mereka bagi persiapan sesi persekolahan yang akan dibuka pada esok hari ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 09 JANUARI 2022.

HULU LANGAT – Menjelang pembukaan sesi persekolahan bagi tahun 2022 yang bermula esok, ramai ibu bapa terutama di kawasan yang terjejas teruk akibat banjir mengambil kesempatan membeli keperluan anak-anak disaat-saat akhir.

Sudah tentunya hujung minggu ini dijadikan masa keemasan untuk mereka melengkapkan keperluan anak-anak.

Tidak ketinggalan juga bagi salah seorang mangsa banjir besar di Hulu Langat iaitu Rayaha Mat, 53. 

Rohaya Mat ketika dtemui ensa Malaysia Gazette di Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 09 JANUARI 2022.

Katanya, pakaian sekolah untuk anaknya yang bakal memasuki Tingkatan 2 esok telah rosak akibat banjir yang melanda.

Malah tambahnya, semua peralatan sekolah seperti beg, buku juga perlu diganti kerana turut rosak.

Justeru itu, beliau menggunakan masa yang ada untuk membeli semua peralatan dan pakaian sekolah anaknya.

“Saya terpaksa beli semua baharu baju anak tingkatan dua. Semua kena beli baharu sebab beg semua habis rosak. Tidak ada lagi yang tinggal. Buku teks pun kena mintak baharu dari cikgu,” katanya ketika ditemui di salah sebuah kedai menjual keperluan sekolah, di sini hari ini.

Menurut beliau, kos membeli kelengkapan baharu anaknya kini mencecah RM300.

Mohd Jonor Hashim.  Foto AFFAN FAUZI, 09 JANUARI 2022.

Sementara itu, Mohd Jonor Hashim, 55, berkata, ibu bapa di kawasan Hulu Langat tidak mempunyai banyak pilihan untuk membeli kelengkapan persekolahan.

Jelasnya, ini kerana kebanyakan kedai di kawasan berkenaan turut dinaiki air dalam kejadian banjir baru-baru ini.

“Banyak barang peralatan persekolahan dan baju yang habis diborong ada juga sikit lagi dan ada juga yang sudah rosak akibat banjir. Saya nak beli untuk anak darjah tiga dapat dua helai kain saja,” katanya yang datang membeli baju sekolab untuk anaknya yang berusia 9 tahun.

Prihatin terhadap mangsa banjir khususnya anak-anak yang bersekolah yang lebih memerlukan baju  baharu, maka beliau membuat keputusan untuk hanya membeli dua helai sahaja baju untuk anaknya pada hari ini.

Suhaida Othman. Foto AFFAN FAUZI, 09 JANUARI 2022.

Bagi Suhaida Othman, 35 tahun pula, pembelian kelengkapan sekolah pada hujung waktu untuk dua anaknya dibuat kerana pada mulanya beliau menyangka bahawa sesi persekoalahan akan ditangguh.

“Memang tahun ini sahaja buat persediaan di hujung waktu sebab kita tidak yakin lagi sekajap tangguh pembukaan sekejap tidak. Bila dah betul-betul yakin baru beli,” katanya. – MalaysiaGazette