PBM
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan memperjuangkan enam teras agenda utama iaitu keterlibatan pelbagai kaum, pemberdayaan wanita, pemerkasaan anak muda serta pembangunan ekonomi.

Dua lagi teras ialah peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Ketua Penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid berkata, parti itu bukan bergerak berlandaskan retorik, sebaliknya mempunyai aspirasi meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan status sosial mereka.

Beliau juga memaklumkan sebagai sebuah parti menyokong kepimpinan kerajaan sedia ada, PBM turut bersetuju dan yakin dengan iltizam #KeluargaMalaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“PBM adalah medium penyatuan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir, sama ada dari sudut pembangunan ekonomi, mahupun perkembangan sosial,” katanya dalam kenyataan¬†di sini, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dipilih sebagai Presiden PBM pada mesyuarat khas persidangan agung parti itu bagi penggal 2021-2024 yang berlangsung di Sibu, Sarawak.

Pada sidang media semalam, Sng yang pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden PBM berkata, PBM bukan parti baharu tetapi ia parti politik tempatan yang diubah nama daripada Parti Pekerja Sarawak (SWP), kepada parti peringkat nasional. – Bernama