Tan Sri Azam Baki

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi berada di bawah pancaran lampu sorot.

Jika sebelum ini tumpuan berita hanya melibatkan berpuluh pegawainya yang ditahan dan diambil tindakan di mahkamah kerana terlibat dengan amalan rasuah, namun kali ini cahaya lampu sorot itu terhala tepat ke arah Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki.

Beliau tercalit dengan isu pemilikan saham dalam sebuah syarikat senaraian awam pada 2016, serta waran dalam sebuah lagi syarikat lain semasa memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

Azam sudah pun tampil memberi penjelasan, saham itu bukan miliknya tetapi kepunyaaan adik beliau yang membeli saham tersebut dengan menggunakan akaun miliknya.

Biarlah apapun alasannya, dan siapa atau apa motif pihak yang menunggang isu ini untuk mendapatkan keuntungan politik, namun integriti badan itu sekali lagi dipersoalkan.

Dalam laman sesawang badan itu tertulis; SPRM bertanggungjawab menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam dan swasta.

Malah bagi merealisasikan matlamat tersebut SPRM turut mewujudkan Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA).

Bahagian itu berperanan untuk mengawal selia, memantau dan menyelaras pengurusan integriti agensi melalui mekanisma pelaksanaan Unit Integriti (UI) di Agensi Awam dan Unit Integriti Dan Tadbir Urus (IGU) di syarikat berkepentingan kerajaan (SBK) serta tanggungjawab pihak yang terlibat.

Saiful Bahar Mohd. Arshad – Foto media sosial

Penganalisis Politik, Datuk Saiful Bahar Mohd. Arshad berpendapat isu pembelian saham oleh adik ketua pengarah SPRM dengan menggunakan akaunnya, ketika ini belum lagi melibatkan unsur rasuah ataupun skandal kewangan. Setidak-tidaknya begitu, sehingga kini.

Bagaimanapun isu tersebut membabitkan soal integriti dan tadbir urus yang baik oleh sebuah badan penguatkuasa.

“Integriti ialah kelayakan untuk bersikap jujur ​​dan mempunyai prinsip moral yang kukuh.

“Dalam etika, integriti dianggap oleh ramai orang sebagai kejujuran dan kebenaran tindakan seseorang,” kata Saiful Bahar yang pernah bertugas dengan tiga menteri dan seorang timbalan menteri serta telah berkhidmat di lapan kementerian sepanjang 19 tahun di Putrajaya.

Tambah beliau,  tanpa integriti dan nilai-nilai tadbir urus yang baik, sebuah badan atau sebuah kerajaan tidak akan dapat berfungsi dengan baik.

Logo SPRM. foto HAZROL ZAINAL, 03 JULAI 2018.

Ini kerana mereka yang menjadi kakitangan dan pegawai boleh terlibat dalam  rasuah, salah guna kuasa, ketidakadilan di dalam mentadbir, pilih kasih, perkauman dan tidak mematuhi kedaulatan undang-undang.

Justeru beliau mencadangkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengambil tanggungjawab mengetuai penyelesaian isu yang melibatkan ketua pengarah SPRM itu.

“Betul, SPRM satu badan bebas. Tetapi isu integriti SPRM dan penjawat awam menjadi satu persoalan yang besar sepanjang minggu ini.

“SPRM ini adalah agensi penguatkuasa walaupun tidak berada di bawah mana-mana kementerian, namun apabila ia membabitkan isu integriti dan etika turut menyeret tanggungjawab menteri yang menjaga undang-undang. Saya mencadangkan Dr. Junaidi sebagai menteri undang-undang mengetuainya,” kata Saiful Bahar.

Beliau menjelaskan, skandal ahli politik dan penjawat awam adalah sesuatu perkara yang sering berlaku di seluruh dunia termasuk di negara Barat dan Eropah.

Namun ahli politik dan penjawat awam tidak seharusnya diletakkan mempunyai standard etika yang lebih tinggi dari rakyat biasa kerana mereka juga manusia biasa dan tidak lepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan.

Walau bagaimanapun, melihatkan isu-isu yang melibatkan SPRM maka sudah sampai masanya Malaysia mempunyai etika yang tinggi untuk menteri, ahli-ahli politik, penjawat awam tertinggi dan rakyat jelata.-MalaysiaGazette.