Tan Sri Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

Katanya, bukan beliau yang memilih Azam untuk memegang jawatan itu dan satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) melakukan pelantikan itu.

“Proses lantikan tidak begitu begitu mudah, harus melalui satu proses dan diperakui oleh jawatankuasa di mana KSN yang mengemukakan cadangan nama (Azam Baki).

“Bukan saya yang pilih, tapi dicadangkan jadi saya fikir proses itu (pelantikan Azam Baki) tidak salah dan teratur, jangan kaitkan saya dengan kes ini,” katanya dalam sidang media Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN), sebentar tadi.

Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM semasa Muhyiddin memegang jawatan Perdana Menteri.

Jelas Muhyiddin lagi, pelantikan Azam pada Mac 2020 mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Bagi saya ia semuanya teratur dan diperkenankan dan saya tidak fikir ada kesalahan dari segi prosedur lantikan dan sebagainya.

“Itu urusan yang telah dibuat oleh KSN di bawah jawatankuasa dan pada waktu itu saya bersetuju untuk memperakukan kepada Yang di-Pertuan Agong dan perkenan, saya fikir tidak ada apa-apa isu yang harus bangkit oleh sesiapa sekalipun,” ujarnya.

Semalam, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mempersoalkan sama ada pelantikan Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM telah melalui proses pemeriksaan terperinci oleh Perdana Menteri.

Azam kini terpalit dengan kes pemilikan saham yang dibangkitkan pihak tertentu.

Bagaimanapun, pada sidang media berhubung isu terbabit baru-baru ini, Azam menyatakan kesediaan jika kes yang didakwa membabitkan dirinya itu dirujuk kepada Jawatankuasa Aduan SPRM selain menegaskan tidak menyembunyikan sebarang fakta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ko ni kalau dah suka menipu, sampai ke kubur pun ko akan menipu. Dalam siaran akhbar SPRM terang2 sebut nama ko yg cadangkan kpd DYMM Agong…pembohong besar!

Comments are closed.