Potensi kawasan Felda bukan sahaja terhad kepada penanaman sawit tetapi potensinya

KUALA LUMPUR – Stok minyak sawit mentah (MSM) bagi Disember 2021 jatuh 11.89 peratus kepada  830,339 tan metrik daripada 942,354 tan metrik bulan sebelumnya berikutan pengeluaran dan eksport yang rendah, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Inventori minyak sawit diproses bagi pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia itu pada akhir Disember turut menyusut 13.95 peratus bulan ke bulan kepada  752,701 tan metrik daripada 874,707 tan metrik, kata MPOB dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MPOB, secara keseluruhannya, stok jatuh 12.88 peratus kepada 1.58 juta tan mterik daripada 1.82 juta tan metrik sebelumnya.

Bagi pengeluaran, output MSM turut menyusut 11.26 peratus kepada 1.45 juta tan metrik daripada 1.63 juta tan metrik pada November.

Pengeluaran isirung sawit merosot 9.8 peratus kepada 350,493 tan metrik daripada 388,562 tan metrik pada bulan sebelumnya, kata lembaga itu, dan menambah bahawa pengeluaran minyak isirung sawit mentah berkurangan 6.15 peratus kepada 168,529 tan metrik daripada 179,565 tan metrik pada November.

Sementara itu, MPOB berkata, eksport minyak sawit merosot 3.48 peratus bulan ke bulan kepada 1.41 juta tan metrik pada Disember berbanding 1.47 juta tan metrik pada November, manakala eksport minyak isirung sawit jatuh 23.31 peratus bulan ke bulan kepada  94,329 tan metrik berbanding 123,005 tan metrik.

“Eksport oleokimia juga menyusut 1.71 peratus bulan ke bulan kepada  241,088 tan metrik daripada 245,273 tan metrik manakala eksport biodiesel jatuh 76.55 peratus bulan ke bulan kepada 13,371 tan metrik daripada 57,033 tan metrik,” katanya. – MalaysiaGazette