Home Nasional Tarian singa: Pusat beli belah dikompaun kerana gagal pastikan penjarakan fizikal

Tarian singa: Pusat beli belah dikompaun kerana gagal pastikan penjarakan fizikal

 

SERDANG – Sebuah pusat membeli belah di Puchong, dekat sini, yang menganjurkan pertandingan tarian singa dikenakan kompaun kerana gagal memastikan orang ramai yang menonton tarian tersebut mematuhi penjarakan sosial.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, semalam pihaknya mendapati rakaman video memaparkan orang ramai berkumpul menyaksikan pertandingan itu sempena sambutan Tahun Baru Cina tular dalam media sosial.

Katanya, kehadiran orang ramai itu mengakibatkan tiada penjarakan fizikal, sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Warga Puchong.

“Pada Ahad jam lebih kurang 7.30 petang sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Puchong telah membuat pemantauan di lokasi di mana pertandingan tarian singa tersebut diadakan.

“Hasil pemantauan dan pemerhatian mendapati ramai pengunjung yang berkumpul menonton pertandingan persembahan tarian singa itu langsung tidak mematuhi syarat penjarakan fizikal yang ditegaskan kerajaan saban hari.

“Pihak polis telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada penganjur di atas kegagalan memastikan penjarakan fizikal oleh penonton-penonton yang hadir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, semakan lanjut mendapati penganjur mempunyai surat kelulusan permit sementara daripada pihak berkuasa untuk menganjurkan pertandingan tarian singa tersebut.

“Bagaimanapun, pihak polis telah mengeluarkan kompaun terhadap penganjur tarian singa itu atas kegagalannya dalam memastikan pematuhan penjarakan fizikal oleh penonton di tempat pertandingan itu,” ujarnya.

Menurut Anbalagan, kesalahan diklasifikasikan di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Pengawasan Tempatan Jangkitan).(pelan pemulihan negara) (pindaan) (n0.3) 2021 dan denda sebanyak RM1,000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast