Seorang peserta memegang poster semasa berarak ke Bangunan Perdana Putra pada himpunan JUSTICE4ADIB Solidariti Suara Ummah di perkarangan Masjid Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 21 DISEMBER 2018

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini memerlukan masa bagi memutuskan sama ada Mahkamah Koroner mempunyai kuasa mendengar serta membuat keputusan bagi prosiding komital.

Persoalan itu membabitkan rayuan bapa kepada anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengetepikan keputusan koroner ketika memberikan kebenaran kepadanya untuk memulakan prosiding komital terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Mahkamah memaklumkan bahawa hujahan kedua-dua belah pihak perlu diteliti sebaik mungkin sebelum membuat keputusan

Keputusan itu diambil tiga panel hakim diketuai Hakim Datuk Suraya Othman bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hashim Hamzah yang menetapkan 8 Februari ini bagi memutuskan persoalan tersebut.

Sebelum ini bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid memohon rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengetepikan keputusan koroner ketika memberi kebenaran kepadanya untuk memulakan prosiding komital terhadap Tommy.

Suraya berkata, persoalan yang telah diputuskan oleh mahkamah iaitu jika koroner mempunyai bidang kuasa terima aduan awam dan kemudian beri kebenaran mula prosiding komital akan diperhalusi.

“Kita juga akan teliti adakah kuasa koroner hanya terhad untuk memutuskan tindakan menghina mahkamah terhadapnya sahaja,” katanya dalam prosiding atas talian hari ini.

Mohd Kassim Abdul Hamid ayah kepada Allahyarham Muhammad Adib.

Barisan panel hakim juga akan meneliti kuasa koroner dan melihat situasi di United Kingdom (UK) serta di negara Komanwel bagi menentukan sama ada ia terpakai di negara ini.

Sementara itu, peguam mewakili keluarga Muhammad Adib, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berhujah, mahkamah rendah seperti Mahkamah Koroner mempunyai kuasa untuk memulakan dan memutuskan prosiding penghinaan.

“Bagaimanapun kuasanya untuk menghukum individu yang tidak menghormati prosiding yang sedang berjalan adalah terhad. Sebaliknya mahkamah rendah hanya boleh menjatuhkan hukuman denda maksimum RM150 atau penjara tiga minggu,” hujahnya.

Manakala peguam Datuk S Ambiga mewakili Tommy berhujah, walaupun koroner mempunyai kuasa, ia hanya terhad kepada tindakan menghina mahkamah terhadapnya yang memerlukan perhatian dan tindakan segera.

“Untuk permohonan memulakan prosiding komital yang dipohon Mohd Kassim terhadap Tommy dibuat selepas enam minggu kenyataan media dikeluarkan bekas peguam negara itu,” ujarnya.

Pada 16 Julai 2016, Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid  imemfailkan permohonan prosiding komital terhadap Tommy di Mahkamah Koroner Shah Alam atas dakwaan menghina mahkamah berhubung punca kematian anaknya itu.

Mahkamah Koroner kemudian membenarkan permohonan tersebut sebelum Tommy memfailkan rayuan dengan keputusan oleh mahkamah terbabit.

Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudian membenarkan permohonan Tommy dengan mendakwa Mahkamah Koroner terkhilaf ketika memulakan prosiding tersebut. -MalaysiaGazette