Dr Adham Baba MOSTI mRNA Covid-19 vaccine Malaysia
Adham Baba

KUALA LUMPUR – Sijil vaksinasi COVID-19 di aplikasi MySejahtera tidak boleh diduplikasi kerana ia menggunakan teknologi “blockchain” yang menjamin ketulenan sijil itu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba bagaimanapun berkata, pemalsuan sijil vaksin yang berlaku di Terengganu baru-baru ini disebabkan oleh masalah integriti pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, isu sijil vaksinasi palsu hanya boleh timbul jika pihak yang mengendalikan vaksinasi itu menyalahgunakan kuasa seperti mengemas kini MySejahtera tanpa memberi sebarang suntikan.

“Sebagaimana kita maklum, polis telah membongkar kegiatan sijil vaksinasi palsu yang dipercayai didalangi doktor klinik swasta,” katanya selepas melancarkan Platform E-Skrol Menggunakan Teknologi “Blockchain” untuk Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini.

Semalam, Polis Diraja Malaysia  menahan seorang doktor sebuah klinik swasta selepas disyaki mengeluarkan sijil vaksinasi COVID-19 palsu di Marang pada Sabtu lepas.

Sehubungan itu, Dr Adham berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan menyerahkan perkara itu kepada polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, teknologi terkini “blockchain” itu selamat dan melindungi data peribadi masyarakat serta ketulenan sijil vaksinasi COVID-19 tidak boleh diragui.

Mengenai majlis pelancaran platform e-Skrol, beliau berkata, UIAM dengan kerjasama MOSTI dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) boleh berkongsi kepakaran dalam pembangunan e-Skrol supaya penggunaannya diperluaskan di institut pengajian tinggi awam dan swasta dalam dan luar negara.

Katanya, sistem yang dibangunkan UIAM itu bukan sahaja dapat membantu menangani masalah pemalsuan skrol yang berleluasa, tetapi juga akan memudahkan pengesahan skrol graduan UIAM di dalam dan luar negara.

Mengenai penggunaan platform e-Skrol itu, beliau berkata, graduan UIAM, majikan dan orang awam yang memerlukan pengesahan skrol ijazah hanya perlu mengakses laman portal yang disediakan bagi mendapatkan pengesahan secara dalam talian.

“Dengan adanya sistem e-Skrol yang menggunakan teknologi “blockchain” ini, MOSTI percaya keyakinan majikan terhadap graduan dapat dipertingkatkan khususnya bagi pengambilan pekerja di organisasi dan syarikat masing-masing,” katanya. – Bernama