A tiger was spotted roaming outside the fence of Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, near Gua Musang, Kelantan yesterday One of tigers was spotted outside SK Balar at Gua Musang, Kelantan.
Seekor daripada dua harimau yang dilihat berada berhampiran SK Balar dekat Gua Musang.

KUALA LUMPUR – Seekor harimau belang dilihat berkeliaran di luar pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, dekat Gua Musang, Kelantan, semalam.

Kehadiran harimau itu, yang sempat dirakam seorang guru menakutkan warga sekolah berkenaan dan penduduk masyarakat Orang Asli.

Tiger Malaya mari ziarah SK Balar. Doakan kami semoga sentiasa dalam perlindungan Allah,” tulis guru berkenaan menerusi Facebooknya.

Sebelum ini, murid dan guru SK Bihai, juga di Gua Musang diancam harimau sehingga sesi pembelajaran bersemuka terpaksa ditangguhkan.

Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan yang dimaklumkan kehadiran harimau itu bertindak melakukan pemantauan rapi.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani percaya ada pergerakan lebih daripada seekor harimau di situ yang dibimbangi mengancam murid, guru dan penduduk Orang Asli di kawasan sekitar.

Katanya, pihaknya sudah mendapat maklumat berkaitan kewujudan harimau berkenaan di sekolah itu.

“Kita sudah terima maklumat berkaitan kehadiran harimau di SK Balar, pemeriksaan dan pemantauan pergerakan harimau tersebut sedang dilakukan.

“Setakat ini, kita memasang tiga perangkap berkamera di Pos Bihai dan operasi berterusan akan dijalankan bagi menangkap harimau itu,” katanya.

Katanya, orang ramai perlu lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan negeri Kelantan melalui talian 011-59275985, talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.