Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bercakap pada sidang media khas berkenaan situasi Covid-19 di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ. 11 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Malaysia kini berada di kedudukan ke-13 berbanding pada tangga ke-115 pada Ogos tahun lepas dalam senarai terbaharu Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei atau Nikkei’s Covid Recovery Index.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kedudukan ini menunjukkan Malaysia berada di atas landasan tepat menuju situasi lebih baik.

“Malah Malaysia semakin hampir kepada pemulihan dengan jumlah kes Covid-19 rendah, kadar vaksinasi lebih baik dan langkah penjarakan sosial yang lebih longgar,” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Hishammuddin juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada semua pihak terutama petugas barisan hadapan dan rakyat dalam mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Usaha baik ini mesti berterusan dan kita tidak boleh cepat berpuas hati,” katanya.

Katanya, keutamaan kerajaan sekarang ialah menurunkan lagi jumlah kes harian, meningkatkan kadar vaksinasi khususnya dos penggalak dan membawa negara ke Fasa Peralihan ke Endemik.

“Ia bukan mudah namun kita berkemampuan untuk melaksanakannya.

“Dengan syarat, semua pihak mesti kekal berwaspada, terus mempunyai rasa tanggungjawab untuk mematuhi SOP.

“Kita kena yakin dengan keberkesanan vaksin termasuk dos penggalak, melakukan ujian pengesanan Covid-19 secara berkala dan mengamalkan TRIIS dengan sebaik mungkin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast