PDRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menahan enam lagi individu disyaki berperanan sebagai ejen kepada doktor yang dikatakan mengeluarkan sijil vaksinasi palsu di Marang, Terengganu semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M. Zambri Mahmud berkata, mereka disyaki mencari pelanggan dan mempromosikan sijil vaksinasi palsu  dengan komisen RM50 bagi setiap pelanggan yang dibawa.

“Enam orang itu telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas mengambil keterangan daripada mereka.

“Kita akan meneruskan siasatan dan kertas siasatan yang dilengkapkan nanti akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk arahan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum itu, doktor antivaksin dari  klinik swasta yang dicekup mengeluarkan sijil vaksinasi palsu kepada 1,900 individu tanpa memberikan suntikan telah disambung reman selama dua hari lagi untuk membantu siasatan polis.

Semalam, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa dalam sidang media berkata, doktor itu ditahan di Kampung Mengabang Tengah di Kuala Terengganu kira-kira pukul 7.34 malam, Sabtu lalu.

Katanya, suspek dipercayai menawarkan perkhidmatan itu sejak tahun September lalu selepas premisnya di Marang diberikan kebenaran mengendalikan suntikan vaksinasi secara berbayar oleh Kementerian Kesihatan.

“Sepanjang tempoh tersebut, lebih 1,900 sijil vaksinasi Covid-19 palsu telah dikeluarkan suspek kepada pelanggannya yang tidak bervaksin termasuk dari Kuala Lumpur, Pahang, Kedah dan Johor dengan kadar bayaran antara RM400 hingga RM600 setiap seorang,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL  BERKAITAN:

Sijil Vaksin Palsu: Reman doktor disambung