MACC MITRA Funds Malaysian Indian Transformation Unit Ministry of National Unity B40
SPRM) Johor telah menahan seorang bekas pengarah urusan sebuah syarikat teknologi maklumat (IT)  kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah hampir RM8 juta.

ALOR SETAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat lagi individu bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan antara 2018 dan 2019.

Sumber SPRM malam ini memaklumkan mereka terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita yang masing-masing berumur antara 37 hingga 51 tahun yang ditahan berasingan di Pejabat SPRM Kedah di sini.

Lelaki yang merupakan pengurus sebuah syarikat berumur 44 tahun ditahan pada 8 malam semalam di Pejabat SPRM Kedah, manaka wanita yang merupakan pemilik syarikat berumur 38 tahun ditahan pada 10.15 pagi hari ini di Pejabat SPRM Kedah.

“Manakala lelaki berusia 37 tahun dan 51 tahun yang juga merupakan pemilik syarikat masing-masing ditahan pada pukul 2.30 petang tadi dan 7.30 malam ini di Pejabat SPRM Kedah,” kata sumber itu.

Menurut sumber itu lagi pengurus berusia 44 tahun itu direman lima hari bermula hari ini manakala wanita itu akan dirakamkan kenyataan dan dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Permohonan reman terhadap dua lelaki yang merupakan pemilik syarikat itu pula akan dilakukan esok.

Kesemua Orang Kena Tahan (OKT) itu diberkas kerana dipercayai mengemukakan penyata akaun bank milik syarikat yang mempunyai butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan untuk melayakkan syarikat mereka memasuki tender Penswastaan ​​Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

Sumber itu berkata, SPRM akan mengesan individu lain yang dipercayai terlibat dalam kes itu serta mengesan dokumen-dokumen penting berkaitan kes berkenaan.

Semalam, Bernama melaporkan seramai 21 individu termasuk tiga wanita berumur antara 31 hingga 77 tahun ditahan SPRM secara berasingan di sekitar Bangi, Selangor dan Pejabat SPRM Kedah untuk membantu siasatan kes itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi  mengesahkan penahanan itu dan memberitahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – Bernama