Penerbit tahan reman 4 hari buat tuntutan palsu rancangan dokumentari.

KUALA LUMPUR – Seorang penerbit rancangan di sebuah agensi penyiaran dibenarkan ditahan reman oleh Mahkamah Majistret atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu lebih RM300,000.

Suspek wanita itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur pada jam 8 malam tadi.

Majistret Nur Farahain Roslan membenarkan suspek direman empat hari bagi membantu siasatan lanjut sehingga Jumaat ini.

Penerbit wanita itu dipercayai telah membuat tuntutan palsu tiga rancangan dokumentari bernilai lebih RM300,000.

Tuntutan itu dipercayai dibuat pada 2017 dan 2018 namun rancangan berkenaan tidak pernah dilaksanakan seperti yang dituntut wanita terbabit dalam tuntutan tersebut.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Ab Rahman mengesahkan penahanan suspek kepada media dan kes disiasat mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette