Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menunjukkan barang rompakan yang dirampas pada sidang media berkenaan kejayaan menumpaskan sindiket rompakan di IPD Petaling Jaya, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 JANUARI 2022.

PETALING JAYA – Hukuman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) yang pernah dilalui oleh tiga individu sebelum ini ternyata tidak memberi pengajaran apabila kesemua mereka masih lagi mengulangi perbuatan jenayah.

Ketiga-tiga lelaki terbabit yang menganggotai kumpulan “Geng Sky” masing-masing berusia lingkungan 39 hingga 59 tahun kali ini terlibat pula dengan aktiviti pecah rumah di beberapa tempat di Petaling Jaya, Serdang dan Ampang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, kesemua suspek berjaya diberkas dalam serbuan di kawasan berasingan di Dang Wangi dan Setapak.

Katanya, operasi memburu ketiga-tiga suspek dilakukan setelah seorang lelaki warga tempatan menbuat aduan kediamannya di pecah masuk pada 24 Disember tahun lepas.

“Pengadu yang berumur 56 tahun menyatakan rumahnya berselerak selepas pulang pada tarikh tersebut.

“Pengadu telah memeriksa rumahnya dan mendapati pelbagai barangan berharga berupa barangan kemas, elektronik, elektrik, wang tunai dan pelbagai barangan peribadi telah hilang.

“Dia mengalami kerugian yang dianggarkan berjumlah RM50,000,” katanya pada sidang media di Lobi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, hari ini.

Antara barang rompakan yang dirampas selepas pihak polis berjaya menumpaskan sindiket rompakan di IPD Petaling Jaya, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 JANUARI 2022.

Fakhruddin berkata, bertindak atas maklumat yang diberikan pengadu serta maklumat daripada orang awam, Bahagian Jenayah IPD Petaling Jaya telah memberkas ketiga-tiga suspek dan merampas pelbagai peralatan.

Antara yang dirampas ialah pelbagai peralatan pecah rumah, matawang asing, pelbagai jenis barangan kemas, beebrapa keping surat pajak gadai, pelbagai aksesori perhiasan diri, pelbagai barangan komponen elektrik, sebuah kereta yang bersabit aduan kehilangan di Puchong dan pelbagai barangan disyaki hasil kegiatan pecah rumah sekitar Petaling Jaya dan lain-lain lokasi.

Tambahnya, hasil ujian air kencing didapati kesemua suspek positif dadah dan turut memiliki rekod menggunakan bahan terlarang itu.

Fakhruddin  berkata, suspek menggunakan modus operandi dengan menekan loceng rumah bagi mengenal pasti kediaman yang hendak dipecah masuk tiada orang.

Kumpulan itu mensasarkan barangan kemas dan kenderaan mewah untuk dicuri,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kumpulan terbabit kemudiannya akan menjual barangan kemas yang diperoleh di pajak gadai di kawasan Rawang dan Setapak.

Barang-barang tersebut dijual kepada seorang suspek yang juga telah ditahan bersama barangan kemas bernilai anggaran RM21,000.

Polis percaya kejayaan tangkapan ketiga-tiga suspek itu telah menyelesaikan beberapa kejadian kes pecah rumah di tiga daerah berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana telah melakukan pecah rumah dan curi.

Kesemua suspek telah dibenarkan menjalani tahanan reman selama tujuh hari sehingga semalam dan disambung tiga hari lagi hingga Jumaat ini, katanya. – MalaysiaGazette