Gambar hiasan

KUANTAN – Keadaan banjir di Pahang pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir, iaitu di Sekolah Kebangsaan Temai di daerah Pekan yang menempatkan 61 orang daripada 12 keluarga menamatkan operasi pada 10 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan gelombang pertama banjir di Pahang yang bermula 17 Dis lepas menyaksikan 67,333 orang daripada 18,243 keluarga ditempatkan di 432 PPS di sembilan daerah.

Sekretariat berkenaan turut memaklumkan sebanyak 21 kematian dilaporkan sepanjang gelombang pertama banjir dengan daerah Bentong merekodkan bilangan kes tertinggi, iaitu 11 orang diikuti Temerloh (empat), Kuantan (tiga), Raub (dua) dan Pekan (satu).

Bencana banjir kali ini turut mengakibatkan beberapa laluan di dua lebuh raya utama Pahang dinaiki air, iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 namun telah dibuka secara berperingkat kepada pengguna selepas kerja-kerja pembersihan dilakukan. – MalaysiaGazette