Sebuah rumah yang dinaiki air dalam kejadian banjir di Segamat, Johor

KUALA LUMPUR, 12 Jan — Jumlah mangsa banjir di Johor dan Melaka terus menunjukkan penurunan setakat pagi ini.

Di JOHOR, jumlah mangsa mencatatkan 1,227 orang setakat 8 pagi ini berbanding 2,154 orang petang semalam, dengan 26 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata, empat daerah masih terjejas banjir dengan Muar merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 547 orang, Segamat (417), Tangkak (182) dan Batu Pahat (81).

Beliau berkata, satu stesen sungai mencatat paras bahaya iaitu Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar, manakala satu lagi stesen sungai mencatat paras amaran iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat.

Katanya setakat ini, hanya satu daerah di negeri berkenaan dilaporkan mendung iaitu Mersing, namun keadaan cuaca di sembilan daerah lagi iaitu Johor Bahru, Muar, Batu Pahat, Segamat, Pontian, Kluang, Kota Tinggi, Tangkak dan Kulai dilaporkan cerah.

Di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata mangsa banjir di negeri itu berkurangan kepada 69 mangsa daripada 21 keluarga pada 8 pagi ini berbanding 112 mangsa daripada 33 keluarga pada 4 petang semalam.

Beliau berkata,  kesemua mangsa kini ditempatkan di dua PPS di Jasin. – MalaysiaGazette