A tiger was spotted roaming outside the fence of Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, near Gua Musang, Kelantan yesterday One of tigers was spotted outside SK Balar at Gua Musang, Kelantan.
Seekor daripada dua harimau yang dilihat berada berhampiran SK Balar dekat Gua Musang.

WWF-Malaysia berasa amat sedih dan dukacita dengan kejadian yang berlaku di Kampung Sau, Gua Musang, baru-baru ini di mana Anek bin Along, seorang penduduk
kampung Orang Asli berusia 59 tahun, telah maut dibaham harimau. Kami mengucapkan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa.

Kami juga menzahirkan rasa kecewa kerana harimau berkenaan terpaksa ditembak mati, walaupun ia merupakan spesies yang sangat terancam. Tindakan ini bercanggah dengan komitmen yang telah diberi oleh Malaysia untuk melindungi spesies ini dengan apa cara sekali pun.

Kami amat prihatin terhadap keselamatan penduduk-penduduk kampung, dan menggesa agar tindakan dipercepatkan dan langkah-langkah amalan terbaik diambil segera bagi mengelakkan kejadian kehilangan nyawa serta impak buruk lain, sama ada kepada manusia mahupun harimau.

Malangnya, insiden konflik manusia-harimau bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi negara-negara yang masih lagi mempunyai harimau. Konflik manusia-harimau berlaku apabila harimau liar bertembung dengan manusia atau haiwan ternakan penduduk yang boleh mendatangkan rasa ketakutan, kecederaan atau kematian kepada manusia, haiwan ternakan atau harimau itu sendiri.

Di Rusia, dua ekor harimau liar yang telah membunuh tiga ekor anjing di pinggiran bandar Vyazemskoye, telah dibius dan berjaya dipindahkan ke Pusat Pemulihan Utyos dengan sokongan WWF-Rusia dan ANO Amur Tiger.

Di Bhutan, konflik manusia-harimau merupakan isu kritikal kerana terdapatnya komuniti petani yang tinggal berdekatan dengan kawasan perlindungan atau hutan simpanan. Selain daripada langkah-langkah seperti menggunakan penghalau bunyi dan cahaya serta pagar elektrik, kaedah "Safe Systems” juga digunapakai untuk menangani isu konflik manusia-harimau secara holistik dengan mengambil kira keselamatan manusia dan juga hidupan liar.

Bilangan harimau di hutan Semenanjung Malaysia kini kurang daripada 150 ekor. Namun sejak kebelakangan ini, beberapa insiden telah berlaku di mana harimau mula keluar dari habitatnya dan mendekati kawasan penempatan manusia. Berikutan peningkatan insiden sebegini, adalah sangat penting untuk kita mencari jalan penyelesaian secara holistik dalam menangani masalah konflik manusia-harimau. Untuk berbuat demikian, kita haruslah memahami sifat semulajadi harimau, punca-punca yang boleh menyebabkan berlakunya konflik dan mengambil tindakan penyelesaian dengan segera.

Harimau memerlukan kawasan rayau yang luas, dan keluasan ini biasanya ditentukan oleh populasi mangsa harimau yang terdapat di kawasan tersebut. Di Malaysia dan juga negara-negara lain yang masih lagi mempunyai harimau, spesies ini menghadapi tekanan berterusan daripada pemburuan haram, dibunuh disebabkan konflik dan kehilangan habitat. Di samping itu, mereka terpaksa bersaing untuk mendapatkan ruang dengan populasi manusia yang kian meningkat dan semakin padat.

Harimau secara semulajadinya merupakan haiwan yang hidup bersendirian, melainkan ia adalah harimau betina yang mempunyai anak, ataupun yang sedang mencari pasangan. Spesies ini lebih suka menjauhkan diri daripada manusia dan memburu secara bersendirian dengan menunggu mangsanya sebelum melakukan serang hendap apabila keadaan sesuai. Harimau boleh menjadi lebih agresif apabila diancam atau sudah cedera, kerana reaksi semula jadinya adalah untuk mempertahankan diri.

Apabila kita berhenti mengancam sumber-sumber yang diperlukan untuk ekosistem terus berfungsi dan berada dalam keseimbangan, kewujudan bersama antara manusia dan hidupan liar dapat diurus dengan lebih baik. Dalam usaha kita untuk meningkatkan populasi harimau liar, kita juga perlu mencari jalan untuk menyelesaikan konflik manusia-harimau dengan lebih berkesan, bagi menjamin keselamatan komuniti yang tinggal berdekatan dengan hutan serta kejayaan usaha pemuliharaan harimau Malaya.

Tahun 2021 telah berakhir dengan penuh harapan berikutan pengumuman penubuhan Unit Jenayah Hidupan Liar oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas Harimau Kebangsaan dan Kumpulan Kerja Harimau Malaya (TWG) untuk mencari solusi bagi meningkatkan populasi harimau di habitat semulajadi. Bersama-sama dengan NGO lain, WWF-Malaysia telah melobi selama beberapa tahun untuk memastikan matlamat ini tercapai dan kini, kita harus terus bergerak ke hadapan dan melaksanakan fasa seterusnya, iaitu sembilan tindakan strategik untuk pemuliharaan harimau yang telah diluluskan oleh Kabinet pada Jun 2021.

Harimau Malaya kini berada di ambang kepupusan. Kita mungkin akan kehilangan harimau pada kadar yang lebih cepat daripada kemampuan mereka untuk berkembang biak. Dengan populasi harimau semakin berkurangan, peluang untuk spesies ini membiak turut berkurangan. Oleh itu, sangat kritikal untuk kita melindungi setiap ekor harimau yang terdapat di hutan negara kita.

Dalam beberapa minggu lagi, kita akan menyambut Tahun Harimau. Harapan saya adalah supaya setiap rakyat Malaysia berusaha untuk memahami sifat dan pentingnya kewujudan harimau, yang juga merupakan ikon negara. Apatah lagi, kewujudan spesies ini berkait rapat dengan kelangsungan hidup kita sendiri.

Sophia Lim
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)
WWF-Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast