Tiga wartawan menjadi mangsa serangan bersenjata pisau di hadapan hotel penginapan pada hari pembukaan kejohanan Piala Negara-Negara Afrika Ahad lalu. - Gambar hiasan, kredit foto: BBC Sport.

LONDON – Tiga wartawan sukan Algeria menjadi mangsa serangan penjenayah berpisau semasa membuat liputan kejohanan bola sepak Piala Negara-Negara Afrika di Cameroon pada Ahad lalu.

Salah seorang mangsa, Mehdi Dahak yang memiliki laman web rasmi bola sepak Algeria mendakwa dia antara tiga rakan senegara yang telah menjadi mangsa serangan oleh suspek bersenjatakan pisau.

Dia mengalami kecederaan akibat dikelar oleh suspek di muka manakala rakannya ditikam di belakang badan oleh suspek tiga individu tidak dikenali.

Dalam kejadian yang sama, wang, tiga telefon bimbit serta pasport ketiga-tiga wartawan Algeria itu disamun hanya beberapa saat selepas meninggalkan hotel penginapan mereka di kawasan Bonapriso untuk makan malam.

Polis Cameroon telah membuka kertas siasatan sementara Kedutaan Algeria di Cameroon mengadakan sidang media menjelaskan situasi semasa.

“Seorang daripada mangsa bernama Smail Mohamed Amokrane telah mengalami kecederaan serius akibat tikaman di belakang badan tetapi dilaporkan stabil di hospital.

“Mereka diserang pada jarak 10 meter dari hotel penginapan mereka oleh lelaki tidak dikenali manakala wartawan ketiga terselamat daripada diapa-apakan suspek.

“Namun di sebalik insiden itu ketiga tiga wartawan Algeria mahu meneruskan liputan berita kejohanan di Cameroon sehingga ia selesai,” katanya Dahak dalam sidang media itu.

Sejurus diserang ketiga-tiga mangsa telah lari masuk semula ke lobi hotel mereka dan insiden itu terakam dalam kamera litar tertutup.

Pihak berkuasa Cameroon memulakan siasatan dengan meneliti aspek keselamatan yang disediakan penganjur dalam kejohanan berkenaan.

Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) pula berkata, pihaknya bekerjasama dengan kerajaan untuk menyiasat insiden tikaman ke atas wartawan Algeria.

“Kita juga sedang berhubung dengan tiga wartawan Algeria itu untuk mendapatkan maklumat lanjut dan mendoakan mereka kembali pulih segera,” kata CAF dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Selasa. – BBC Sport.com.