Laluan Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus, Pulau Pinang dibuka kepada orang ramai bermula hari ini.

GEORGE TOWN – Selepas tertangguh berikutan beberapa kekangan termasuk insiden tanah runtuh dan pandemik Covid-19 akhirnya Laluan Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus di sini, dibuka kepada orang ramai pada hari ini.

Selain itu, pembinaan lebuh raya yang mengambil masa hampir enam tahun untuk disiapkan itu melakarkan sejarah tersendiri apabila menjadi lebuh raya tertinggi di Malaysia susulan terdapat satu laluan dengan ketinggian 61.5 meter berbanding jambatan Lebuhraya Rawang-Serendah atau Rawang Bypass dengan ketinggian 58.2 meter.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, laluan itu dibina bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan trafik sebanyak 30 peratus dan memberi manfaat kepada kira-kira 60,000 pengguna jalan raya setiap hari.

Kon Yeow (tengah) merasmikan laluan Laluan Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus di sini, hari ini.

Jelas beliau, konsesi yang disiapkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membabitkan laluan sejauh 3.825 kilometer (km) itu menemukan kos sebanyak RM378.2 juta.

“Kerja pembinaan yang bermula pada 14 Januari 2016 itu pada 24 Disember tahun lalu dan membabitkan beberapa skop pembinaan malah ia merupakan antara peruntukan paling besar yang dibiayai oleh MBPP setakat ini.

“Laluan itu menjadi jalan alternatif kepada penduduk di kawasan Paya Terubong dan Air Itam bagi berhubung ke kawasan Bukit Jambul, Bukit Gambir, Balik Pulau dan sekitarnya yang sering mengalami kesesakan pada waktu puncak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Laluan Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus di sini, hari ini.

Projek pembinaan lebuh raya ini merupakan antara peruntukan paling besar yang dibiayai oleh MBPP setakat ini.

Pada 19 Oktober 2018, berlaku kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan lebuhraya tersebut yang mengorbankan sembilan mangsa yang tertimbus dan tiga yang lain cedera.

Selain itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menyuarakan bantahan berhubung pelaksanaan projek lebuh raya itu.

Sementara itu, Setiausaha MBPP, Ir. A. Rajendran berkata, lebuh raya berkenaan dibina mengikut standard yang ditetapkan negara termasuk memastikan keselamatan di bahagian cerun bukit.

Rajendran.

“Selain pemeriksaan dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), kita juga lantik pihak geologi serta pihak persendirian swasta untuk kaji jalan di bahagian cerun sekali gus memastikan keselamatan pengguna yang menggunakan laluan tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Datuk Bandar MBPP, Yew Tung Seang berkata, MBPP turut menyediakan lorong basikal di sepanjang jejambat jalan berkenaan bagi memberi peluang kepada penggemar sukan berbasikal menjalankan aktiviti ini di jejambat tertinggi.

“Bagi penggemar kayuhan ‘off-road’, penunggang basikal boleh  menggunakan lorong yang disediakan di bahagian bawah jejambat.

“MBPP juga merancang bagi membina kawasan rekreasi di kawasan ini untuk memberi kemudahan kepada orang ramai beriadah,” kata beliau. – MalaysiaGazette