Semua penagih dadah yang sedang menjalani program pemulihan di fasiliti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dilayan seperti pesakit yang perlu dirawat secara menyeluruh menerusi Model i-Pulih AADK.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersedia membantu merawat pulih mana-mana pihak yang terjebak dengan penagihan dadah.

Kenyataan AADK itu susulan tular insiden  seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang cuba mencuri tabung sebuah masjid di Kuang, Selangor dan hasil saringan air kencing mendapati mendapati dia positif dadah jenis syabu.

Ketua Pengarahnya, Sutekno Ahmad Belon berkata, hasil siasatan polis mendapati remaja tersebut bertindak mencuri duit tabung masjid untuk membeli dadah dan bermain judi dalam talia.

“Sehubungan itu, di AADK perkhidmatan rawatan dan pemulihan disediakan menerusi fasiliti sama ada melalui Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), perkhidmatan di daerah, Pusat Khidmat AADK dan Rumah Komuniti AADK.

“Ini termasuklah, perkhidmatan rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) yang berdaftar dengan AADK,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sutekno lagi, AADK turut menyediakan perkhidmatan secara sukarela menerusi PUSPEN atau program pemulihan dalam komuniti yang tidak memerlukan klien berada di dalam PUSPEN.

Katanya, semua kemudahan tersebut terbuka kepada warganegara yang terjebak dengan masalah penagihan dadah dan ingin mendapatkan rawatan sewajarnya.

Pun demikian, katanya AADK berpendapat agensi yang berkaitan juga perlu digerakkan bagi memastikan masalah sosial dan ekonomi remaja terbabit dapat diselesaikan segera agar masalah sama tidak berulang.

“Justeru, ia memerlukan tindakan secara holistik daripada semua pihak berwajib.

“Sehubungan itu, dalam usaha mencapai matlamat Dadah Terkawal 2025, AADK menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan pemprosesan, pembekalan, penyeludupan, penjualan dan penagihan dadah.

“Sekiranya anda atau orang yang dikenali terlibat dalam permasalahan dadah sila dapatkan bantuan khidmat nasihat daripada Pegawai Pemulihan AADK, hadir ke Pejabat AADK yang berhampiran atau hubungi Hotline AADK di talian 03-8911 2233 atau 019-626 2233,” tegasnya. -MalaysiaGazette