The mosque committee member of Masjid Al Islahiah, Mohamad Ayub Han Khalil speaks to the media about the viral case of a teenager who tried to steal the donation box from the mosque and was bathed like a corpse at Kuang, Selangor. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 14 JANUARY 2022 Daniel Iskandar Mohd Nasir Masjid Al Islahiah mosque
AJK Masjid, Mohamad Ayub Han Khalil bercakap kepada media mengenai seorang remaja yang tular selepas dijirus air mengikut prosedur mandi jenazah berikutan telah mencuri tabung masjid ketika di Kuang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2022.

KUANG – Seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al Islahiah, di sini, berkongsi pengalamannya memandikan seorang remaja dengan menjirus air mengikut prosedur mandi jenazah.

Mohamad Ayub Han Khalil berkata, beliau melakukan tindakan itu kerana Daniel Iskandar Mohd. Nasir, 19, berada dalam keadaan khayal dan lalok ketika ditangkap.

Jelas beliau, ‘mandi ala jenazah’ itu dibuat termasuk meletakkan kapur barus bagi memberi ‘kesegaran’ kepada remaja yang mencuri tabung masjid itu untuk berada dalam keadaan normal.

“Kami mandikan remaja ini atas beberapa sebab iaitu satu sebagai pengajaran di mana tiada unsur-unsur penderaan. Boleh periksa luka dan lebam memang tidak ada.

“Yang kedua remaja ini berada dalam keadaan khayal dan kita mandikan bagi dia segar. Yang ketiga ketika hendak elak bencana lebih besar sebab di luar masjid sudah ada sekitar 40 pemuda dipanggil ‘Kuang Krew’ yang menangkap remaja itu.

“Kita hendak elak dia jadi mangsa ‘belasah’ dalam kalangan pemuda yang tengah geram dan AJK masjid ambil keputusan ‘simpan’ dulu dalam bilik jenazah.

“Alang-alang di bilik jenazah dan tabung masjid memang ada di situ, kami biar di situ kerana dia tengah khayal.

“Tujuan kami bagi dia segar, bagi pengajaran dan mengelak musibah ke atas remaja ini lagi teruk,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Tabung masjid yang diheret ke bilik mandi jenazah oleh seorang remaja yang tular selepas dijirus air mengikut prosedur mandi jenazah berikutan telah mencuri tabung masjid ketika di Kuang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2022.

Semalam, Daniel Iskandar yang sebelum itu tular dimandikan ala jenazah dikenakan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang kerana cuba mencuri tabung masjid lima hari lalu.

Daniel Iskandar yang juga penganggur dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap iaitu 9 Januari lalu dan tambahan jel lima bulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Sebelum menjatuhi hukuman, Majistret Nik Mohd Fadli menegur tindakan tertuduh bahawa mencuri merupakan satu kesalahan.

Mengulas lanjut, Mohamad Ayub Han berkata, Daniel Iskandar ditangkap di kawasan sekitar masjid sebelum solat Asar pada Ahad lalu dan terus dibawa ke bilik jenazah kerana bahan bukti iaitu tabung peti berada di situ.

Menurut beliau, ia bagi memudahkan proses siasatan sama ada tabung itu yang cuba dicuri pada pagi hari yang sama.

“Selepas solat Asar, kebetulan saya berada di belakang imam dan secara spontan mencadang remaja itu dimandikan siap di atas katil mandi jenazah.

“Lepas mandi kita lap dan bila letak kapur barus, dia meronta dan minta maaf serta berjanji tidak buat lagi,” katanya.

Mohamad Ayub menambah, ini pertama kali pihak AJK membuat laporan polis di atas kecurian itu walaupun sebelum ini kes sama sering berlaku.

Namun jelasnya, apabila datuk remaja itu Rosli Sidek, 65, dipanggil untuk berbincang, beliau nekad agar kes cucunya itu diserahkan kepada pihak berkuasa. – MalaysiaGazette

Lokasi Masjid Al Islahiah Kuang yang merupakan tempat kejadian seorang remaja yang tular selepas dijirus air mengikut prosedur mandi jenazah berikutan telah mencuri tabung masjid ketika di Kuang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2022.

1 Komen

Comments are closed.