Lokasi Masjid Al Islahiah Kuang yang merupakan tempat kejadian seorang remaja yang tular selepas dijirus air mengikut prosedur mandi jenazah berikutan telah mencuri tabung masjid ketika di Kuang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Masjid Al Islahiah yang terpalit dengan insiden video viral memandikan seorang remaja mengikut prosedur mandi jenazah tidak mahu lagi memanjangkan isu tersebut.

Salah seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid yang enggan dikenali berkata, ini kerana imam yang telah terbabit dalam insiden itu telah pun meletak jawatan.

Malah beliau berkata, tempoh bertenang diperlukan untuk meredakan isu tersebut.

“Cukuplah komen-komen yang diberikan semalam agar isu ini tidak berlarutan lagi dan keadaan kembali menjadi tenang dan normal semula,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Semalam, seorang Imam Masjid Al-Islahiah, Kuang dekat sini yang terlibat dalam insiden memandikan seorang remaja lelaki ala jenazah pada 8 Januari lalu telah meletak jawatan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menerusi satu kenyataan.

Menurut beliau, tindakan sewajarnya juga telah diambil Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selaku agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam menguruskan insitusi masjid di Selangor selepas menerima maklumat yang sebenarnya mengenai kejadian itu. – MalaysiaGazette