Busana Songket Jong Sarat tenunan Terengganu yang disimpan oleh Raja Andak Raja Hussin.

MELAKA – Selepas lebih 40 tahun mengumpul hampir 400 pakaian tradisional pengantin Melayu, lelaki ini akhirnya terpaksa merelakan sebahagian koleksi pakaiannya itu dimiliki Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) demi tatapan generasi akan datang.

Mengakui bukanlah mudah untuk ‘menjaga’ keseluruhan pakaian pengantin berusia antara 40 hingga 68 tahun yang dianggarkan bernilai hampir RM500,000 itu, Raja Andak Raja Hussin, 62, berkata, harapannya adalah Perzim dapat mengiktiraf usaha dilakukannya itu.

Menurutnya, jika hendak dinilaikan semua koleksi busana yang dikumpul daripada ahli keluarga sejak berusia 17 tahun, ianya tidak ternilai kecuali oleh mereka yang benar-benar tahu menghargai kualiti dan nilai sentimental busana pengantin itu.

Raja Andak Raja Hussin,

“Contohnya, saya ada sepasang busana Songket Jong Sarat tenunan Terengganu yang berusia 68 tahun yang mana nilainya boleh mencecah sehingga RM10,000 walaupun ia nampak lusuh seperti baju ‘bundle’

“Malah, sebelum ini ada juga pereka fesyen dari Hollywood menawarkan RM1,000 kepada saya untuk sepasang baju kebaya pendek kasa robia corak bunga putik kapas berusia 40 tahun namun saya tidak menjualnya kerana ianya sudah tiada di pasaran,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Raja Andak yang mesra disapa Pak Andak berkata, wang ringgit bukanlah keutamaannya sehingga sanggup mengetepikan cinta yang mendalam terhadap kecantikan busana tradisional Melayu lama yang sudah dipupuk sejak berusia 17 tahun.

“Sebab itu, sebahagian besar busana ini Pak Andak nekad menjualnya kepada Perzim, setidak-tidaknya ia akan menjadi tatapan generasi hadapan dan bukannya menjualnya kepada individu pada harga yang jauh lebih tinggi.

“Ada juga pereka-pereka fesyen hari ini yang datang bincang dengan Pak Andak mengenai cara potongan kain dan corak koleksi baju lama ini untuk rujukan mereka dan Pak Andak sambut baik usaha mereka,” katanya.

Minat Raja Andak Raja Hussin pada busana tradisional cukup mendalam.

Ditanya bagaimanakan ‘nasib’ sebahagian lagi busana tradisional Melayu yang berada dalam simpanannya, Raja Andak berkata dia akan cuba menjaganya sebaik mungkin selagi hayat dikandung badan.

“Selagi ada kudrat, Pak Andak akan cuba jaga sebaik mungkin semua busana ini kerana inilah nilai sejarah yang harus dipelihara demi tatapan generasi hadapan.

“Lagipun, ada juga dalam kalangan bakal pengantin yang berkongsi minat sama dan memilih memakainya pada hari persandingan mereka.

“Bagi Pak Andak, inilah sebenarnya cara terbaik untuk mengembalikan semula kegemilangan masyarakat Melayu era 1950-an hingga 1980-an apabila busana ini dipakai pada majlis-majlis besar,” katanya.- MalaysiaGazette