KUALA LUMPUR – Remaja yang dimandikan ala jenazah selepas melakukan cubaan mencuri tabung masjid melantik Tetuan Hariz Syakinah & Co mewakili beliau dengan bantuan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

PPMM melalui Tetuan Hariz & Co telah mendapat maklumat terdapat satu prosiding Semakan Jenayah telah ditetapkan mengikut peruntukan di bawah Bab 31 Kanun Tatacara Jenayah di Mahkamah Tinggi Jenayah 1 Shah Alam pada 17 Januari ini.

Atas dasar tersebut, PPMM berkata, ia melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co akan hadir di hadapan mahkamah tersebut, kata Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

PPMM juga merujuk kepada pelbagai versi fakta dan penceritaan berkaitan latar belakang Daniel dan kejadian tersebut yang pada pandangan PPMM tidak begitu sihat dari sudut keadilan dan kepentingan remaja tersebut mahupun mana-mana pihak berkaitan untuk diteruskan di media sosial terutama bagi menghormati prosiding yang akan berlangsung di mahkamah pada Isnin ini.

Oleh itu, PPMM melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co bagi pihak Daniel memohon jasa baik semua pihak untuk mengelakkan daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh mengundang kekeliruan di pihak masyarakat awam hingga penyelesaian prosiding di Mahkamah Shah Alam tersebut.

Tambahnya, PPMM akan memberikan kenyataan penuh selepas prosiding tersebut selesai. – MalaysiaGazette