Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin membuat tinjauan Kempen Jualan Keluarga Malaysia peringkat Selangor di Pasar Raya Besar AEON Big Ampang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 16 JANUARI 2022.

AMPANG – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi memberi amaran kepada mana-mana pemborong mahu pun pengeluar minyak masak agar tidak menyorok bekalan paket di pasaran jika tidak mahu dikenakan tindakan tegas.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin menegaskan, jika pihaknya mendapati perkara berlalu, beliau tidak teragak mengambil tindakan dengan menarik semula lesen berkaitan.

“Itu saya tak tahu dakwaan minyak paket disorok tapi kalau kita dapat maklumat daripada orang ramai, kita akan tarik lesen dia.

“Kalau mereka sorok minyak, ramai lagi orang nak buat,” katanya kepada pemberita di pasaraya Aeon Big di sini hari ini.

Jumaat lalu, MalaysiaGazette melaporkan ada beberapa peruncit di Lembah Klang mendakwa bekalan minyak masak bersubsidi sekilogram itu amar sukar diperoleh daripada pemborong sejak Disember lepas.

Keadaan itu menyebabkan jumlah bekalan yang diterima tidak sama dengan pesanan dibuat.

Dalam pada itu, Zuraida tidak menolak kemungkinan bekalan minyak masak paket tiada di pasaran disebabkan stok tidak sampai lagi daripada pemborong.

“Hari ini saya periksa di sini ada bekalan. Alhamdulillah saya rasa tempat tertentu mungkin stok tak masuk lagi.

“Bagaimanapun saya akan semak apakah keadaan sebenar, tapi di sini Alhamdulillah, bila sampai tadi, saya terus tengok stok minyak masak paket.

“Cuma di sini setiap orang dihadkan pembelian kepada tiga paket seorang sahaja,” katanya.

Sementara itu, beliau memberi jaminan bekalan ayam mentah dan telur masih mencukupi untuk memenuhi keperluan dan permintaan orang ramai dalam Kempen Jualan Keluarga Malaysia yang dilaksanakan pasaraya Aeon Big.

Menurutnya, berdasarkan tinjauan, beliau mendapati bekalan utama itu masih mencukupi dan harga masih terkawal.

“Alhamdulillah setakat ini, kalau runcing kita tak mampu meletakkan harga kawalan, ini bermakna bekalan itu cukup,” katanya lagi. – MalaysiaGazette