Datuk Seri Ismail Sabri ketika menyampaikan Bantuan Wang Ihsan Banjir (BWI) di Bera hari ini

KUALA LUMPUR – Keluarga Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob cukup cakna dalam membantu mangsa banjir di negara ini yang bermula 18 Disember lalu.

Pegawai Khas Strategik Komunikasi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, segala sumbangan termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang segera disalurkan kepada mangsa terlibat merupakan antara insentif tercepat dalam sejarah negara.

Katanya, pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turun bagi membantu mangsa banjir terlibat.

Malah ujarnya, sehingga 30 Disember 2021, keseluruhan penerima bantuan banjir warga KPKT berjumlah 595 orang dengan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) paling ramai terjejas iaitu 313 orang di seluruh negara.

“Jumlah ini dijangka bertambah berikutan banjir masih berlaku dan KPKT akan terus membantu warga yang terkesan.

“Sebagai tanda komitmen membantu warga KPKT yang terjejas, Menteri KPKT Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan timbalannya, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib akan menyerahkan keseluruhan gaji mereka pada bulan Januari 2022 ke dalam Tabung Bencana Keluarga KPKT.

“Datuk Seri Reezal Merican juga memaklumkan bahawa sehingga kini, KPKT telah memperuntukkan sebanyak RM67.5 juta bagi tujuan kerja-kerja pasca banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia merangkumi RM50 juta untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi kos membaik pulih infrastruktur dan fasiliti awam; RM12.587 juta untuk kerja-kerja pembersihan sisa banjir dan RM5.0 juta daripada PR1MA bagi keperluan Bantuan Bakul Bencana KPKT.

Dalam pada itu, Haslihelmy berkata, sebagai persediaan banjir gelombang kedua di Kelantan, Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan Johor pula, KPKT telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM7.825 juta bagi kerja perkhidmatan kutipan, pembersihan dan pelupusan sisa banjir.

“Ini menjadikan, jumlah peruntukan untuk kerja-kerja pembersihan pasca banjir secara kumulatifnya adalah berjumlah RM20.412 juta,” ujar beliau lagi.

Seiring itu, Haslihelmy berkata beliau yakin kerajaan Keluarga Malaysia yang dipimpin Ismail Sabri dan KPKT tentunya akan terus membantu sesiapa sahaja yang terjejas ekoran musibah banjir kali ini.

“Inilah Keluarga Malaysia di mana kita terus membantu antara satu sama lain demi memastikan tiada sesiapa pun ketinggalan jika mereka dilanda musibah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette