Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar beramah mesra bersama penerima Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) ketika program Walkabout SPIM di Seksyen 3 Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 16 JANUARI 2022.

SHAH ALAM – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menangguhkan sementara permohonan Skim Pembiayaian Informal (SPIN) bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN).

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, ini bagi memberi ruang kepada TEKUN untuk memproses permohonan daripada 23,237 pemohon.

Kata beliau, daripada jumlah pemohon itu, kementeriannya menganggarkan nilaian pembiayaan sebanyak RM187 juta.

“Kementerian ini diperuntukan RM200 juta dan sehingga kini anggaran pembiayaian sudah berjumlah RM187, bakinya RM13 juta lagi kita terpaksa gunakan untuk memulihkan usahawan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

“Jadi, permohonan baharu kita tangguhkan dahulu. Kita akan selesaikan permohonan yang sudah diterima untuk meluluskannya dalam tempoh satu minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Walkabout Skim Pembiayaan Informal dan Mikro di Kompleks KPPMS Seksyen 3 di sini hari ini.

Dalam program itu, Noh menyampaikan cek pembiayaan kepada 21 usahawan dan pemberian dalam bentuk pinjaman tanpa faedah itu turut menawarkan moratorium setahun.

Menurut Noh, maknanya usahawan yang mendapat cek bawah skim ini akan memulakan bayaran tahun depan tanpa dikenakan kadar faedah.

Kata beliau, daripada jumlah keseluruhan permohonan, sebanyak 3,986 telah diluluskan dengan nilai pembiayaian RM37 juta.

“Saya sendiri turun padang dan boleh mengesahkan saya berpuas hati dengan skim SPIN ini yang memperuntukan masa satu minggu untuk meluluskan permohonan.

“Skim ini adalah untuk membantu usahawan kita yang berniaga dan mungkin tidak ada lesen PBT serta lesen perniagaan. Mungkin mungkin berniaga dari rumah dan sebagainya.

“Usahawan ini kita beri pinjaman maksimum RM10,000 tanpa faedah dan moratoriumnya selama satu tahun,” katanya.

Kata Noh, antara negeri terbanyak membuat permohonan ialah Selangor iaitu sebanyak 3,844 dengan 935 pemohonan sudah diluluskan. – MalaysiaGazette