Wan Hassan (kanan, depan) menunjukkan ganja yang dirampas pihaknya pada sidang media di IPK Kedah hari ini. - Gambar ihsan FB Polis Kedah

ALOR SETAR –  Seludup ganja dari negara jiran transit di Kedah sebelum dibawa ke Kuala Lumpur.

Itu taktik sekumpulan lelaki sejak enam bulan lalu, namun kegiatan penyeludupan itu berjaya dilumpuhkan polis selepas merampas ganja seberat 77.71 kilogram (kg) bernilai RM194,275 dalam beberapa serbuan di negeri ini dan Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

Serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu turut membawa kepada penahanan empat lelaki termasuk seorang warga emas.

Wan Hassan.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, dalam serbuan pertama pihaknya menahan dua lelaki berusia 54 dan 60 tahun di sebuah stesen minyak di Jalan Kodiang di sini, kira-kira jam 6.40 pagi.

Jelas beliau, pemeriksaan ke atas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dinaiki mereka membawa kepada penemuan 76 ketulan mampat ganja di bahagian kerusi penumpang serta but kereta.

“Susulan itu, kami melakukan pemeriksaan ke atas pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang diletakkan di bahu jalan berhampiran stesen minyak berkenaan.

Wan Hassan (tengah) menunjukkan ganja yang dirampas pada sidang media di IPK Kedah hari ini.

“Hasil  pemeriksaan kita jumpa beg biru berisi ganja yang dianggarkan berat lebih 1.9 kg,” katanya pada sidang media di IPK Kedah hari ini.

Menurut Wan Hassan, susulan daripada penahanan dua suspek terbabit, pihaknya memberkas dua lagi lelaki berusia 27 dan 39 tahun di lokasi berasingan iaitu di Bangsar dan Sri Hartamas pada hari sama.

Kata beliau, siasatan lanjut mendapati empat lelaki masing-masing bekerja sebagai pemandu lori, penghantar surat dan peniaga kedai makan itu aktif dalam pengedaran ganja ini sejak enam bulan lalu.

Wan Hassan berkata, hasil siasatan mendapati sindiket ini menyeludup masuk ganja dari negara jiran sebelum transit di Kedah untuk dijual di Kuala Lumpur.

“Selain itu, ujian saringan air kencing ke atas empat suspek mendapati semuanya negatif dadah dan semakan rekod lampau pula, tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah.

“Dalam serbuan kedua itu, kita menyita dua kenderaan, dua jam tangan berjenama, dua motosikal, wang dalam akaun bernilai RM3,333 dan barangan kemas bernilai RM5,603.23.

Jumlah keseluruhan barangan yang disita termasuk kenderaan yang dirampas bernilai RM104,387.

“Kesemua mereka direman sehingga 18 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” tegas beliau. – MalaysiaGazette