Thursday, May 26, 2022
Home Sukan ACL: JDT bakal jumpa kelab Chanatip dari Jepun

ACL: JDT bakal jumpa kelab Chanatip dari Jepun

Chanatip Songkrasin. Foto Fox Sports Asia.

KUALA LUMPUR – Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) akan bertemu dengan juara Liga Jepun, Kawasaki Frontale dan pasukan yang menduduki tempat ketiga Liga Super China, Guangzhou FC bagi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim 2022.

Diundi dalam Kumpulan I, satu lagi slot akan diisi pemenang pusingan play-off di antara kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai, dan wakil Thailand, Port FC.

Pertemuan JDT yang juara Liga Super lapan kali berturut-turut itu dengan Kawasaki Frontale pada April depan sudah pasti akan menjadi perlawanan tumpuan memandangkan kelab gergasi Jepun itu akan turut diperkuatkan bintang sensasi Thailand, Chanatip Songkrasin.

Saingan peringkat kumpulan Zon Timur ACL 2022 akan bermula pada 7 April depan manakala final kejohanan itu pula dijangka akan mengambil tempat pada Februari 2023.

Sebagai rekod, ini merupakan penampilan keempat berturut-turut JDT dalam saingan peringkat kumpulan ACL sejak 2019 tetapi mereka terpaksa menarik diri sewaktu peringkat kumpulan musim 2020 berikutan lonjakan kes jangkitan Covid-19 di peringkat global. – MalaysiaGazette

MalaysiaGazette