The school session for 10 schools had to be postponed for three days beginning tomorrow following the air pollution due to the fire at the Pulau Burung landfill
Keadaan kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Pulau Pinang. - Gambar ihsan JAS

NIBONG TEBAL – Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) Pas Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri memberi penjelasan segera punca kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung di sini.

Pengerusinya, Md Saiful Lizan Yusoff berkata, penjelasan itu perlu memandangkan kebakaran tersebut menjejaskan keselamatan dan kesihatan rakyat Pulau Pinang.

Md Saiful Lizan Yusoff

Jelas beliau, pihaknya memandang serius isu kebakaran di tapak pelupusan sampah itu, selain beberapa persoalan timbul yang memerlukan maklum balas daripada kerajaan negeri pimpinan DAP.

“Adakah operator tapak pelupusan sanitari tersebut gagal menyediakan ‘landfill gas ventilation system’ bagi mencegah kesan penyebaran gas berbahaya daripada tersebar ke udara ?

“Selain itu, operator yang dilantik adakah mengikut prosedur operasi standar  Tapak Pelupusan Sanitari yang ditetapkan? ,” soalnya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, pihaknya menggesa siasatan segera dibuat dan kerajaan negeri harus bertanggungjawab atas kegagalan memastikan tapak pelupusan sanitari itu beroperasi dengan selamat bagi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

MalaysiaGazette semalam melaporkan, kira-kira 400 penduduk diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan kawasan berkenaan berdepan masalah pencemaran udara akibat kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung  sejak 12 Januari lalu.- MalaysiaGazette