Sepasang suami isteri ditemui tinggal di bawah landasan transit aliran ringan (LRT) di sekitar Petaling Jaya.

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri ditemui tinggal di bawah landasan transit aliran ringan (LRT) di sekitar Petaling Jaya, akan dipindahkan ke lokasi yang lebih selesa.

Menerusi status Facebook, Menteri Wilayah Persekutuan, Daruk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, beliau telah menggerakkan pasukanya menemui pasangan itu semalam sejurus mendapat maklumat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

“Setibanya di sana, rupanya pasukan lain pun ramai ke sana termasuk pihak Baitulmal, Kementeian Perumahaan dan Kerajaan (KPKT) serta badan bukan kerajaan (NGO),” katanya menerusi satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Keadaan lokasi di bawah landasan transit aliran ringan (LRT) di kawasan ibu kota yang dijadikan Kasturi sebagai tempat tinggal.

Terdahulu seorang pengguna Facebook berkongsi mengenai seorang lelaki dikenali sebagai Kasturi yang tinggal di bawah jambatan LRT di Taman Aman, Petaling Jaya kerana  tidak mampu membayar sewa rumahnya di Kapar selepas diberhentikan kerja.

Lebih menyedihkan, isterinya yang sedang sakit tidak dapat meneruskan lagi proses rawatan di hospital kerana mengalami masalah kewangan yang dihadapi keluarga itu.

Tambah Shahidan, bagi memastikan situasi itu tidak berlarutan beliau meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan pasangan itu sebuah rumah di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR).

Untuk mengubah kehidupan Kasturi, Shahidan berkata, DBKL telah menawarkan peluang kepada Kasturi dengan memulakan perniagaan di dalam kawasan DBKL.

“Namun, dia memilih untuk menyewa sebuah rumah di Kapar kerana terletak berdekatan dengan kediaman lamanya dan sewa dibayar oleh Baitulmal. Pasukan saya juga telah sedekah sedikit keperluan,” ujarnya. – MalaysiaGazette