Siti Nurhaliza muncul dengan video muzik kelapan daripada album ManifestaSITI2020.

KUALA LUMPUR – Penghibur nombor satu, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui sekarang bukan waktu untuk bersaing atau berlawan dengan bakat muda tanah air selepas 25 tahun berada di persada seni

Penyanyi yang baru menyambut ulang tahun ke 43 tahun pada 11 Januari lalu berharap pada tahap sekarang, dia hanya mahu terus kekal relevan dan konsisten.

“Zaman sekarang bukan untuk saya bersaing lagi dengan artis muda.

“Bukan era berlawan lagi. Saya hanya mahu kekal menyajikan lagu yang ‘best’, prestasi kerja bagus, selain berkolaborasi dengan generasi baru,” katanya.

Ibu kepada Siti Aafiyah Khalid dan Muhammad Afwa itu berkata demikian di majlis perjumpaan dan sambutan ulang tahun dirinya serta Sitizone di Magica Cheras Hall.

Siti Nurhaliza baru muncul dengan filem dokumentari, Siti: Are You Ready?.

Penyanyi lagu Purnama Merindu itu juga terus memanjat kesyukuran kerana kesetiaan kelompok peminat Sitizone yang digelar Sitizoner terus utuh selepas 18 tahun diwujudkan.

“Dalam tempoh perjalanan lebih dua dekad, saya bersyukur kerana dikelilingi tunjang kekuatan yang jadi tulang belakang termasuklah rakan media dan peminat.

“Tak saya nafikan peminat menjadi nadi penting kepada kerjaya saya. Cuma saya tak sangka pada usia kini dan 25 tahun jadi anak seni, peminat terus teguh menyokong.

“Saya fikir mereka akan berubah hati kerana ada lagi penyanyi yang hebat akan ambil alih. Ia jadi suntikan semangat untuk saya terus beri terbaik. Malah ada peminat baru. Yang minat sejak dulu dan seusia bersambung sokongan itu kepada anak mereka,” katanya.

Tambah Siti lagi, banyak momen dikenang sejak penubuhan Sitizone.

“Mereka ada dengan saya waktu sukar dan duka. Kalau tengok filem dokumentari, Siti: Are You Ready? boleh lihat ada kelompok peminat yang sanggup pergi ke mana saja konsert saya diadakan. Di luar negara pun mereka sanggup melabur duit biarpun jarang berjumpa dan berkomunikasi,” katanya.

Pada acara berkenaan penyanyi itu meminjam semangat juang karakter puteri Disney, Mulan, seiring dengan tema Watak Dalam Filem Atau Drama.

“Mulan versi saya ini sopan sedikit. Versi berhijab. Saya pun suka watak hero seperti ini. Saya selalu berangan jadi ketua atau pemimpin yang menerajui peperangan,” katanya.

Siti berkata, saban tahun acara sama dianjurkan, tema ditetapkan satu kemestian.

“Macam kali ini tak ada simbolik tertentu. Setiap majlis ini memang ada tema ditetapkan.

“Contohnya macam kembali ke sekolah, profesion, balik kampung dan macam-macam lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

Siti Nurhaliza baru menyambut ulang tahun ke-43 tahun pada 11 Januari lalu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast