Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim bercakap kepada media selepas meninjau lokasi cadangan pembangunan semula di Flat Rajawali, Desa Aman, Cheras, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 18 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Rakyat mahukan perubahan yang besar berlaku di Johor sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu diadakan kelak.

Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ia berdasarkan kepada kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka dan momentum kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak baru-baru ini.

“Walaupun di Sarawak menang besar dan kita sokong dan kita dapat kemenangan yang hebat di Melaka dan kita tidak jangka sebab ini yang rakyat mahu.

“Saya juga percaya rakyat mahu perubahan yang besar berlaku di Johor dan juga tempat lain,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan di tapak cadangan pembangunan semula Flat Rajawali, Desa Aman, Cheras hari ini.

Dalam pada itu, Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, rakyat jelas mahu konsep Keluarga Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipraktikkan di negeri itu sekiranya PRN diadakan.

“Akhirnya rakyat yang tentukan dan mereka nampak kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ialah satu hasrat rakyat yang dinantikan,” katanya.

Spekulasi PRN akan diadakan di Johor rancak diperkatakan selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas daripada Parti Bersatu Malaysia, Datuk Osman Sapian bulan lalu.

Ia ditambah lagi dengan pentadbiran kerajaan negeri dibawah Perikatan Nasional (PN) di Johor ketika ini yang hanya menguasai negeri itu dengan majoriti satu kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) dengan 27 kerusi. – MalaysiaGazette