Polis menemui heroin di dalam kereta yang dinaiki tiga lelaki masih bebas selepas melarikan diri daripada polis di simpang tiga Stadium Hang Jebat, Krubong.

MELAKA – Polis menjumpai dadah dipercayai jenis heroin dalam kereta dinaiki tiga lelaki yang masih diburu selepas melarikan diri sebelum melanggar sebuah kenderaan awam ketika cuba ditahan lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, selain menjumpai satu tiub dadah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) jenis Proton Iswara dinaiki suspek juga didapati telah tamat tempoh.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta yang ditinggalkan ketiga-tiga lelaki yang masih bebas itu menjumpai satu tiub dadah dipercayai heroin untuk kegunaan sendiri.

“Kita tidak menolak kemungkinan ketiga-tiga suspek melarikan diri kerana melakukan kesalahan memiliki dadah selain LKM kenderaan berkenaan tamat tempoh namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Semakan mendapati, kenderaan terbabit berdaftar atas nama seorang wanita beralamat di Seremban, Negeri Sembilan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, susulan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Terdahulu, Malaysia Gazette hari ini melaporkan polis memburu tiga lelaki yang melarikan diri ketika cuba ditahan sebuah Unit Kereta Peronda (MPV) sebelum memecut dan mengakibatkan kemalangan di simpang tiga Stadium Hang Jebat, Krubong, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, suspek yang memandu kereta jenis Proton Iswara dilihat dalam keadaan mencurigakan di simpang lampu isyarat Kelemak-Lendu, Alor Gajah.

Ketika cuba ditahan, pemandu kereta memecut laju sehingga ke simpang tiga Stadium Hang Jebat sebelum melanggar sebuah Perodua Viva dipandu wanita berusia 30-an di ketika cuba membuat pusingan U.

Pemandu Perodua Viva berkenaan bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Ketiga-tiga suspek lelaki berjaya melarikan diri sejauh kira-kira 300 meter berhampiran kawasan semak dibahu jalan dan usaha mencari sedang giat dilakukan sejak semalam hingga ke hari ini termasuk menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9). – MalaysiaGazette