TDC Holdings Sdn Bhd adalah salah satu daripada beberapa syarikat Pemasaran Pelbagai Peringkat (MLM) milik Muslim di Malaysia.

KUALA LUMPUR – TDC Holdings Sdn. Bhd. menjadi penaja utama Terengganu Football Club (TFC) selepas menandatangani kontrak bagi musim Liga Malaysia (Liga M) 2022 dan 2023, semalam.

TDC Holdings bakal menggunakan jenama salah satu produk utama mereka iaitu COLEVER sebagai ‘branding image’ yang akan dibawa bersama Terengganu FC bermula musim ini.

Logo Colever bakal digunakan pada semua penempatan imej logo tajaan utama kelab ini termasuk pada jersi utama pasukan Terengganu FC.

TDC Holdings bersetuju untuk menjadi penaja utama kelab itu dengan penawaran tajaan dalam bentuk kewangan sebanyak RM4 juta bagi musim 2022 dan 2023 serta menawarkan penajaan tambahan dalam bentuk barangan dengan nilaian sebanyak RM500,000 menjadikan nilai tajaan keseluruhan bagi tempoh dua tahun mencecah RM4.5 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hafiz Hiew menyatakan beliau melihatkan kerjasama itu dapat memberikan kelebihan buat kedua-dua pihak yang mana mana Terengganu FC sememangnya mempunyai nilai komersialnya sendiri.

“Pasukan utama kelab ini juga telah mempamerkan kualiti yang sangat baik dalam kancah saingan Liga Malaysia yang menjadikan pasukan ini salah sebuah pasukan gergasi bukan sahaja di Pantai Timur, tetapi di Malaysia.

“Kami percaya Terengganu FC bakal membawa jenama Colever serta TDC Holdings ke peringkat yang lebih tinggi dan beliau tidak menolak jika kerjasama ini berjalan lancar, kerjasama ini akan berterusan pada tahun-tahun yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, pihaknya berbesar hati menerima tajaan terbesar musim ini dan mengharapkan dengan kerjasama itu, ianya bakal merancakkan lagi industri bola sepak negeri kerana misi pasukan itu adalah untuk melahirkan lebih ramai pemain tempatan berbakat bukan sahaja mampu mewakili negeri tapi juga negara.

“Penajaan itu juga sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan daripada sumber kerajaan negeri kerana kita juga menyasarkan sifar dana daripada kerajaan negeri dalam masa beberapa tahun lagi,” katanya. – MalaysiaGazette