Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengambil beberapa langkah penyelesaian jangka panjang bagi mengelakkan banjir besar dan terburuk berulang.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagi tujuan itu kementerian turut mengambil sikap terbuka untuk mempelajari pengalaman negara lain dalam pengurusan banjir.

“Dalam hal ini, kerajaan Belanda telah menawarkan bantuan kepada Malaysia melalui kedutaannya di Kuala Lumpur.

“Antara bantuan ditawarkan ialah menghantar pasukan Dutch Risk Reduction Team (DRR) ke Malaysia bagi menilai impak fenomena banjir dan cadangan penyelesaian yang bersesuaian. KASA sedang berbincang dengan pelbagai pihak bagi menjayakan kolaborasi ini,” katanya di Parlimen hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, peruntukan diperlukan bagi cadangan penyelesaian jangka masa panjang fenomena banjir di seluruh negara berjumlah melebihi RM300 bilion dengan tempoh pelaksanaan secara berfasa selama 50 tahun sehingga tahun 2100.

Kata beliau, fokus adalah kepada pembangunan infrastruktur air seperti tebatan banjir, pembinaan benteng, ban, pencegahan hakisan pantai dan sebagainya yang mengambil kira faktor perubahan iklim.

“Kita percaya melalui cadangan penyelesaian segera, jangka pendek dan jangka panjang, impak fenomena banjir dari segi kemusnahan harta benda mahupun kehilangan nyawa setidak-tidaknya dapat diminimumkan.

“Kejayaan pelaksanaan penyelesaian ini bergantung pula kepada kerjasama semua pihak sama ada agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan, NGO, masyarakat dan sebagainya,” kata beliau.

Selain itu, katanya, langkah lain yang turut diambil ialah memberi fokus kepada pendekatan seperti memperkasa tadbir urus adaptasi perubahan iklim sektor air melalui pembangunan Akta Adaptasi Sektor Air sebagai strategi jangka panjang dengan mengambil kira keperluan peningkatan tahap perlindungan infrastruktur saliran dan pantai negara.

Di bawah akta itu, ujar beliau, KASA akan mencadangkan penubuhan sebuah tabung khas atau kumpulan wang amanah untuk peningkatan kapasiti adaptif sektor air dan kawasan pesisir melalui pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur yang mengambil kira faktor perubahan iklim.

“Langkah lain ialah membangunkan Pusat Adaptasi Kebangsaan di bawah KASA bagi menyelaras dasar dan pelaksanaan adaptasi perubahan iklim, integrasi pengurangan risiko bencana dan pencegahan kehilangan dan kerosakan akibat kesan perubahan iklim yang melibatkan sektor-sektor mudah terancam.

“Membangunkan struktur dan reka bentuk infrastruktur tebatan banjir berkonsepkan make room for water seperti menaik taraf sistem pengurusan banjir, pantai dan sungai utama serta menaik taraf benteng/ban pantai/sungai dan parit dengan meningkatkan tahap perlindungan reka bentuk infrastruktur saliran dan pantai daripada 100 tahun ARI kepada 200 tahun ARI.

“Penggunaan pendekatan nature-based solution seperti pembinaan denai sungai sebagai platform penglibatan masyarakat dalam aktiviti perlindungan, pembersihan dan pemuliharaan sungai,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, kejadian banjir pada Disember lalu adalah susulan daripada fenomena luar jangka yang disebabkan faktor pembangunan dalam kawasan dataran banjir dan rizab sungai menyebabkan pengurangan kapasiti takungan air.

Kata beliau, faktor lain ialah aliran air sungai terhalang disebabkan tiang jambatan dan kemudahan utiliti dengan adanya puing yang mengandungi sampah, sisa, sedimen dan bahan buangan.

“Kita juga dapati jajaran asal sungai telah diluruskan dan dikonkritkan menyebabkan aliran sungai lebih laju di kawasan hilir.

“Pembukaan tanah di kawasan tadahan menyebabkan aliran air permukaan lebih laju ke dalam sungai, berlaku runtuhan di tebing dan membawa kelodak dan puing seterusnya menyebabkan banjir di kawasan hilir.

“Pam dan pintu air yang tidak dapat beroperasi dengan sempurna akibat timbunan sampah sarap dan terputus bekalan elektrik yang terpaksa dipotong oleh TNB kerana keselamatan awam, dan akibatnya menjejaskan fungsi pam sedia ada,” katanya.

Ujar beliau, setelah mengambil kira faktor itu, KASA melalui agensi JPS, MET Malaysia dan NAHRIM telah melaksanakan beberapa tindakan iaitu pelepasan air daripada empangan dan pintu air dilaksanakan secara terkawal mengikut Peraturan Tetap Operasi (PTO).

JPS katanya, mempunyai 1,645 unit pintu air, 653 rumah pam dan 288 unit pam mudah alih di seluruh negara dan semua pam serta pintu air telah beroperasi semasa kejadian banjir.

“Sebanyak 68 pam bergerak dan 49 pam kekal beroperasi di Selangor, tujuh pam bergerak dan 22 pam kekal beroperasi di Pahang dan 12 pam bergerak dan lapan pam kekal beroperasi di Kelantan.

“Terowong SMART telah diaktifkan pada Mod 4, di mana keseluruhan terowong trafik telah dikosongkan sepenuhnya daripada kenderaan dan air banjir pada 18 Disember 2021 untuk tempoh 22 jam berbanding tempoh kebiasaan selama tiga jam sejak mula beroperasi,” katanya. – MalaysiaGazette