Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 20 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang ‘mencuri’ masa kira-kira 15 minit sebaik sidang mesyuarat khas Parlimen bermula dengan merujuk buku aturan mesyuarat supaya turut dibincangkan isu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Sebaik Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun hendak memulakan sesi sidang, Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai-Amanah) bangun meminta Speaker merujuk usulnya mengenai skandal pemilikan saham oleh Azam.

“Saya minta isu Azam dibahaskan hari ini. Isu ini penting demi integriti SPRM,” katanya.

Kemudian, Nga Kor Ming (Teluk Intan-DAP) turut bangun mencelah dengan merujuk buku aturan mesyuarat supaya usul yang dikemukakan Salahudin diterima oleh Speaker dan dibahaskan isu berkenaan selepas tengah hari ini.

Turut bangun ialah Gobind Singh Deo (Puchong-DAP) dan M. Kulasegaran (Ipoh Barat-DAP).

Bagaimanapun, Azhar Azizan ketika menjawab perkara yang dibangkitkan berkata, beliau tidak ada kuasa untuk mencampur-adukkan usul berkenaan Azam dengan mesyuarat khas hari ini yang membincangkan mengenai bencana banjir.

Katanya, beliau hanya menerima notis daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memanggil mesyuarat khas ini hanya berhubung isu bencana banjir.

“Notis itu hanya menyatakan untuk membincang dan membahaskan isu mengenao bencana banjir bukan isu lain.

“Dalam hal ini (mengadakan mesyuarat khas) hanya Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak. Saya hanya boleh membenarkan sekiranya menerima arahan daripada Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, pembangkang telah menghabiskan masa dengan membangkitkan isu yang tiada kena mengena dengan persidangan khas itu.

“Kita ada 70 ahli Parlimen yang akan mengambil bahagian dalam perbahasan ini, selepas itu menteri-menteri berkenaan akan menjawab.

“Sidang ini akan diteruskan sepanjang hari ini tanpa ada waktu rehat dan harap semua Yang Berhormat memahami dan mematuhinya,” katanya. – MalaysiaGazette