Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR – Satu laluan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) akan ditukar semula kepada kepada laluan Smart Tag di Plaza Tol Bertam, pada minggu depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tindakan itu bagi meredakan keresahan rakyat di kawasan itu memandangkan RFID telah menyukarkan urusan penduduk di kawasan tersebut.

“Kepada orang-orang Kepala Bataih (Batas), jangan risau. Insya-Allah, satu laluan RFID di Tol Bertam akan ditukar semula kepada laluan Smart Tag pada minggu hadapan.

“Ini jaminan yang telah diberikan kepada saya. Semuanya untuk Kepala Bataih. Kepala Bataih sentiasa di hatiku,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas dalam hantar terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengguna perlu diberikan pilihan untuk menggunakan kaedah pembayaran dan tidak menghadkan kepada satu platform sahaja di plaza tol bagi memudahkan perjalanan mereka.

Menurut Ismail Sabri, penggunaan RFID telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet semalam dan penggunaan Touch N Go serta Smart Tag perlu dikekalkan buat masa ini.

Sementara itu, Reezal Merican memberitahu, beliau telah menyuarakan kebimbangan rakyat itu dalam mesyuarat Kabinet yang akhirnya mendapat perhatian Perdana Menteri.

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri yang bersedia mendengar dan memberi arahan jelas agar rakyat diberi pilihan untuk terus menggunakan laluan Smart Tag.

“Terima kasih juga kepada Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadhillah Yusof yang cukup responsif serta pihak PLUS yang memberi komitmen untuk menyelesaikan perkara ini dengan segera,” katanya. – MalaysiaGazette