TENAGA elektrik memainkan peranan yang sangat penting bukan sahaja kepada industri yang menjana ekonomi dan pendapatan negara tetapi juga untuk kesejahteraan masyarakat dan keluarga.

Dengan tenaga elekrik masyarakat, menggunakannya untuk membasuh baju menggunakan mesin basuh, menyimpan makanan dalam peti ais untuk tahan lebih lama dan mengunakannya untuk memasang televisyen untuk hiburan keluarga.

Tanpa tenaga elektrik masyarakat mungkin akan terpaksa kembali kepada kehidupan zaman dahulu dengan memasak menggunakan kayu api, menggosok pakaian menggunakan setrika arang atau menerangi rumah menggunakan pelita ketika waktu malam.

Bagaimanapun setiap perkhidmatan termasuk pembekalan tenaga elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad bukan datang dengan percuma kerana untuk menjana elektrik memerlukan kos yang bukan sedikit.

Tahukah anda bahawa pembayaran tarif elektrik oleh pengguna meliputi semua kos yang terlibat untuk membekalkan tenaga elektrik ke premis perniagaan atau kediaman.

Kos tarif melibatkan kos bahan api seperti arang batu dan gas asli yang harganya tidak stabil berdasarkan permintaan dan penawaran pada peringkat antarabangsa. Kos bahan api inilah yang selalunya menyumbang dan mempengaruhi perubahan harga tarif elektrik.

Kos tarif turut melibatkan kos penjanaan untuk menjana elektrik. Kedua-dua kos ini adalah 65 peratus daripada jumlah tarif asas yang dikenakan ke atas pengguna.

Tarif elektrik turut dipengaruhi oleh kos operasi, kos penyelenggaraan dan kos tetap untuk menghantar dan mengagihkan tenaga elektrik. Kos ini meliputi 35 peratus daripada jumlah tarif asas.

Kerajaan akan menyemak dan menentukan tarif elektrik pada setiap tiga tahun.

Tarif elektrik di Semenanjung Malaysia ditentukan oleh Kerajaan melalui rangka kerja yang diterima pakai di seluruh dunia iaitu Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

IBR ialah kaedah penetapan tarif bagi memastikan kestabilan elektrik dibekalkan secara cekap pada kos yang berpatutan kepada pengguna.

IBR mempunyai dua komponen iaitu Tarif Asas dan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT).

ICPT pula melibatkan pergerakan harga bahan api dunia dan kos penjanaan. Mekanisme ICPT membolehkan harga bahan api dunia diselaraskan setiap enam bulan.

Bil elektrik berkurangan apabila harga bahan api menyusut dan bertambah apabila bahan api meningkat.

Dari segi kewangan, impak pelaksanaan ICPT adalah neutral terhadap TNB dan tidak memberi sebarang kesan terhadap operasi bisnes TNB.

Untuk maklumat lanjut boleh layari Facebook TNB Careline atau kunjungi Kedai Tenaga berdekatan. – MalaysiaGazette. – MalaysiaGazette.

#tnb
#icpt