Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin Vocational College Jalan Kemendor Cluster Jasin education Covid-19 positive students

JASIN – Kes pelajar positif Covid-19 di Kolej Vokasional (KV) Datuk Seri Abu Zahar Isnin di sini meningkat kepada 26 orang sekaligus menyaksikan kluster pendidikan itu terpaksa ditutup sehingga Ahad ini.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, peningkatan terbabit selepas Kluster Jalan Kemendor itu merekodkan 15 lagi kes positif berbanding 11 kelmarin.

“Setakat pagi tadi, bilangan pelajar positif dikesan adalah 26 orang termasuk 11 pelajar perempuan yang disahkan positif sebelum ini.

“Keputusan itu adalah hasil saringan terhadap 104 orang termasuk kes indeks dan kolej vokasional terbabit akan ditutup sehingga 23 Januari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Muhammad Akmal, daripada jumlah yang disaring itu, seramai 48 disahkan negatif manakala 30 lagi masih menunggu keputusan.

Pada Rabu lalu, seramai 87 pelajar daripada dua Kolej Vokasional di Melaka, disahkan positif Covid-19, iaitu 76 pelajar di Kolej Vokasional Melaka Tengah (KVMT) di Bukit Katil dan 11 pelajar perempuan di Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin.

Bagaimanapun ketika itu, hanya KVMT yang ditutup manakala KV di Jasin masih dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

Perkembangan terbaharu hari ini sekaligus menyaksikan keseluruhan positif seramai 102 pelajar di kedua-dua KV berkenaan yang kini ditutup selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengisytiharkanya sebagai Kluster Jalan Kemendor dan Kluster Jalan Telani.- MalaysiaGazette