KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggesa agar Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) yang telah dirangka oleh GIACC (Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Malaysia) dapat dikuatkuasakan serta- merta.

Presiden DPMM, Abdul Halim Husin berkata, semua pelan tindakan atau hala tuju pembangunan ekonomi negara yang dirangka oleh kerajaan tidak akan berjaya mencapai sasarannya selagi jenayah rasuah tidak dibendung.

“Dalam tempoh 10 tahun antara 2005-2014 sahaja, negara telah kehilangan hampir RM2 trillion daripada aliran wang yang tidak sah. Kita percaya angka ini sudah semakin bertambah sekarang,” katanya kepada media hari ini.

Menurut beliau, kesan amalanĀ  rasuah ini boleh dirasai rakyat dengan kenaikan kos sara hidup kini semakin membebankan.

Tambah Abdul Halim, amalan rasuah di setiap peringkat rantaian perolehan kerajaan juga menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup rakyat, apabila gejala rasuah dan pecah amanah menyebabkan ketidaksamaan pendapatan, kekayaan dan peluang.

“63.3% aduan rasuah melibatkan sektor awam membabitkan unjuran ratusan bilion ringgit yang diperuntukkan dalam perolehan kerajaan untuk menjana infrastruktur dan perkhidmatan yang lebih baik,”

“Sebahagiannya akan masuk ke poket perasuah dan tidak akan sampai kepada rakyat.” dakwanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah Mesra Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bersama Rakan Media di Anjung Melayu, Kuala Lumpur hari ini.

DPMM berharap kerajaan pusat atau kerajaan negeri, termasuk parti-parti politik dan pihak berkuasa tempatan berlapang dada untuk bekerjasama dengannya atas nama memartabatkan melayu dan Islam.

Beliau turut menyampaikan pesanan penting buat Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar sentiasa mengambil serius kuasa ketiga seperti DPMM dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

Ini kerana, katanya, dalam keadaan ekonomi yang getir dan genting ini, suara NGO yang paling dekat dan relevan dengan kehendak rakyat.

Tambah Abdul Halim, sekiranya Perdana Menteri lebih bertegas dalam membendung rasuah, dan terus komited mengambil langkah-langkah lebih drastik dan punitif terhadap penjenayah rasuah, rakyat pasti akan beridiri teguh bersama beliau. – MalaysiaGazette