Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Akmal Nasir menyerahkan memorandum rakyat kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan krisis terkini Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mencari jalan untuk meredakan suasana yang membawa kepada satu himpunan esok di ibu negara.

Menurut beliau, segalanya bermula apabila Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun yang menghalang memorandum pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki di Dewan Rakyat, semalam.

“Saya ingin gesa sekali lagi kepada Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri untuk mencari jalan menenangkan suasana.

“Orang bantah sebab nak masuk Parlimen tidak boleh sebab Speaker Dewan Rakyat larang. Kalau dulu dia boleh bawa sampai ke luar dan wakil-wakil 15 orang masuk ke Parlimen dan kemukakan memorandum kepada PM dan menteri serta Ketua Pembangkang.

“Tapi ini tidak berlaku tetapi bila anak-anak muda termasuk AMK baru-baru ini bercadang nak adakan himpunan, itu terpaksa menghadapi tekanan,” katanya dalam siaran langsung Facebook berjudul ‘MoU Kerajaan – Pakatan Harapan: Kemana Selepas Ini?’, sebentar tadi.

Esok satu himpunan akan diadakan di beberapa kawasan antaranya Dataran Merdeka, Sogo dan Masjid Jamek bagi mengecam skandal melibatkan Azam.

Himpunan yang dianjurkan Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki yang disokong oleh lapan parti politik itu, rata-rata mendesak agar proses undang-undang ke atas AzamĀ  bermula dengan segera serta menggesa rombakan SPRM dibuat seterusnya diletakkan di bawah Parlimen.

Dalam pada itu, menurut jawatankuasa berkenaan pihaknya telah menukar lokasi setelah polis bertindak menutup enam jalan dan stesen keretapi di ibu negara.

“Melihat situasi ini, kami sebagai rakyat Malaysia yang prihatin tiada pilihan lain kecuali meneruskan dengan gesaan #TangkapAzamBaki pada hari esok, jam 11 pagi, Sabtu, 22hb Januari 2022 di bawah jambatan LRT Bangsar, Jalan Bangsar,” kata mereka dalam satu kenyataan malam ini. – MalaysiaGazette