Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO  mempersoalkan adakah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) satu-satunya cara untuk menjamin keselamatan hidup hari tua.

Sedangkan, kata Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, jika rakyat hari ini terdesak untuk memenuhi keperluan hidup diri dan keluarga.

Tegas beliau, hakikatnya rata-rata rakyat menuntut simpanan mereka sendiri hari ini bukan sengaja mahu berbuat demikian.

“Ramai yang mula dihalau dari rumah tak dapat bayar sewa. Ramai yang ditarik kereta dan motor kerana sudah tidak mampu bawar ansuran.

“Ramai yang berhutang keliling pinggang untuk penuhi keperluan hidup,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Menurut Asyraf, ramai yang tertekan memikirkan bagaimana hendak memastikan makanan di atas meja terus terhidang untuk keluarga.

Malah, katanya, ramai juga hilang punca pendapatan dan hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

“Mereka ini tak semuanya dapat bantuan kerajaan. Kalau dapat pun tak mencukupi dan mereka ini tergolong dalam kalangan 6.83 juta pencarum yang punya wang simpanan KWSP melebihi RM10,000 bahkan beratus ribu,” katanya lagi.

Sedangkan Akta KWSP di bawah Seksyen 54 sendiri jelas membenarkan pengeluaran hari ini untuk penuhi keperluan dan keberterusan hidup, apatah lagi yang terkesan akibat pandemik (Rujuk sub-seksyen 54 (k), 54(l) dan 54(m).

“Percaya dan yakinlah bahawa konsep rezeki bukannya diukur atas nilaian banyak atau sikitnya tabungan KWSP. Pun begitu, ikhtiar juga tidak pernah dinafikan, malah pelbagai justifikasi dan hujah ekonomi juga telah banyak kali saya berikan,” tulis beliau.

Menurutnya, beliau juga banyak kali sebelum ini menghujahkan bagaimana cara untuk menampung semula simpanan peribadi dan kantong KWSP secara keseluruhan.

Lebih utama katanya, mengelakkan mudarat besar dihadapi rakyat hari ini dengan mengambil mudarat kecil iaitu benarkan pengeluaran kali terakhir wang simpanan hari tua demi kelangsungan hidup ketika ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast