Menteri Besar Johor
Datuk Hasni Mohammad

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dijangka mengadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar petang ini selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri dan satu lagi mesyuarat khas.

Sesi mengadap itu bagi mempersembahkan usul pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor seterusnya memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka selepas Tahun Baharu Cina.

Sumber memberitahu MalaysiaGazette satu kenyataan dijangka menyusul juga hari ini memaklumkan pembubaran DUN Johor.

Ketika berita ini ditulis Hasni telah pun tiba untuk mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri kesemua ketua bahagian UMNO Johor termasuk Ahli Parlimen Sembrong yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Satu sidang media dijangka diadakan selepas selesai mesyuarat.

Desas-desus DUN Johor akan dibubarkan hari ini turut bertiup kencang.

Johor mempunyai 56 kerusi DUN yang terdiri daripada UMNO dan DAP masing-masing 14 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebanyak 11 kerusi, PKR (7), Amanah (6) MIC (2) dan Pas (1).

Berikutan kedudukan yang genting iaitu kerajaan memerintah memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, PRN dilihat perlu diadakan  supaya kerajaan yang dipilih kelak dapat memberi tumpuan kepada program pembangunan negeri terutamanya sektor ekonomi.

Berita lanjut menyusul. – MalaysiaGazette