Supritendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor menunjukkan senjata dan barang rampasan daripada tiga suspek yang terlibat dalam kes pecah masuk sebuah pasar raya.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 11 kes pecah rumah di sekitar Telok Panglima Garang, Kuala Langat dengan tertangkapnya tiga lelaki selepas menerima laporan rompakan di sebuah pasar raya di kawasan tersebut pada Khamis lalu.

Rompakan itu menyebabkan dua unit CPU kamera litar tertutup (CCTV), sejumlah wang di dalam tabung masjid dan wang tunai RM15,000 di dalam sebuah peti besi seberat 500 kilogram hilang.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, bertindak atas maklumat tersebut, lebih kurang pukul 10.45 malam, sepasukan pegawai dan anggota polis membuat tangkapan seorang lelaki warga tempatan di sebuah rumah Kampung Sri Jangkang, Telok Panglima Garang.

Tambah beliau, hasil soal siasat suspek yang ditangkap, lebih kurang pukul 12.20 pagi hingga pukul 2.30 pagi pada 21 Januari lalu, polis memberkas rakan dua lelaki warga tempatan di sekitar kampungb tersebut.

Polis juga berjaya menemui semula barang-barang milik pengadu dan sejumlah barangan disyaki hasil daripada kegiatan pecah rumah yang dijumpai di kedua-dua rumah suspek, ujarnya.

Kesemua saspek yang ditangkap adalah lelaki tempatan berumur 26 tahun hingga 40 tahun, masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah, jelasnya.

Ahmad Ridhwan berkata, kumpulan ini aktif dalam melakukan jenayah sejak dua bulan yang lalu.

”Polis percaya telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 11 kes pecah rumah di sekitar Telok Panglima Garang Kuala Langat.

“Antara kes yang berjaya diselesaikan ialah pecah rumah di sekitar Telok Panglima Garang, pecah kedai butik, pecah pasar raya, pecah kedai runcit, pecah kedai hardware dan lain-lain,” katanya.

Kesemua suspek direman selama empat hari dan ditahan di lokap Balai Polis Banting untuk disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda atau sebat jika disabit kesalahan. – MalaysiaGazette