Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. endemic phase Parliament
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong sedang menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan di Wad Diraja Institut Jantung Negara (IJN) sejak semalam.

Pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan ini berhubung rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali yang dijalani oleh baginda di IJN pada 24 September 2020.

Baginda telah menjalani rawatan intervensi itu setelah Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) menunjukkan kecederaan pada sendi-sendi lutut dan buku lali baginda ketika bersukan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, rawatan susulan ini tertangguh dari tarikh tersebut ekoran pelaksanaan prosedur operasi standard Covid-19 di hospital-hospital awal termasuk IJN.

Pada masa sama, baginda turut menjalani pemeriksaan respiratori di IJN.

“Kesihatan baginda pada amnya dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan.

“Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Seluruh rakyat diseru mendoakan semoga Yang di-Pertuan Agong dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan berpanjangan. – MalaysiaGazette