Hasni Mohammad hadir pada Taklimat Pilihan Raya MIC Negeri Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Tampoi, Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) berhasrat bertanding secara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan yakin mampu memperoleh kemenangan dua pertiga majoriti.

Malah gabungan parti politik itu yakin tidap perlu menjalin kerjasama dengan parti lain dalam menghadapi pilihan raya tersebut.

Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, gabungan parti politik itu akan bertanding di semua 56 kerusi DUN.

“Kita akan cadangkan kepada BN Pusat untuk BN Johor bertanding sendirian dalam PRN, kita yakin boleh menang tetapi apa pun keputusan ini terpulang kepada pucuk pimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Taklimat Pilihan Raya MIC Negeri Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Tampoi, di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Pengerusi MIC Johor, R Vidyananthan.

Semalam Sultan Johor,  Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.

Sementara itu, Hasni memberitahu, pembubaran DUN Johor mematuhi peraturan undang-undang tubuh kerajaan negeri.

Hasni yang merupakan Menteri Besar Johor berkata, tiada isu berbangkit mengenai keputusan pembubaran DUN yang dilakukan semalam.

“Ia tidak berbangkit soal persetujuan pertama kita tahu bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah diasaskan pada fasal 23/2 dan  23/3 di mana kita boleh membubarkan dewan sebelum tamat tempoh lima tahun.

“Manakala keduanya pembùbaran dewan ini hanya boleh dibuat oleh raja.

“Jadi kita mematuhi kedua dua fasal didalam undang undang tubuh kerajaan negeri dan mesyuarat majlis kerajaan MMK dimaklumkan tentang hasrat ketua kerajaan untuk mencadangkan atau kemukakan permintaan kepada raja bukan perlu dapat persetujuan MMK baru nak angkat bawah duli Tuanku mempertimbangkan  cadangan pembubaran dewan,” ujarnya.

Hasni mengulas dakwaan bahawa keputusan pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak mendapat persetujuan parti lain.

Terdahulu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Solihan Badri berkata, keputusan membubarkan DUN Johor hanya melibatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) .

Menurut Solihin, pembubaran DUN secara dasar tidak mendapat persetujuan daripada Bersatu atau Pas dan ia dilakukan lebih ke arah kehendak UMNO sendiri. – MalaysiaGazette