Risto Vidakovic. Foto Facebook Melaka United.

KUALA LUMPUR – Kelab Bolasepak Melaka United FC (MUFC)  mengumumkan pelantikan Risto Vidakovic, jurulatih dari Bosnia & Herzegovina sebagai Ketua Jurulatih Skuad Hang Tuah yang baharu menggantikan Zainal Abidin Hassan.

Jurulatih berpengalaman berusia 53 tahun itu menyertai Skuad Hang Tuah dari kelab Liga 1 Indonesia, Borneo FC.
Dia pernah membimbing beberapa kelab Eropah dan Asia selain pernah bersama skuad kebangsaan Serbia selaku Penolong Jurulatih pada 2006 hingga 2007.

“Selamat menyertai kami di Melaka United FC, semoga dengan pengalaman yang dimiliki Risto bakal memantapkan lagi persiapan Skuad Hang Tuah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini,” kata MUFC dalam satu kenyataan di laman media sosialnya.

Antara kelab yang pernah mendapatkan khidmat Risto termasuk kelab-kelab Sepanyol seperti Murcia, Ecija Cadiz dan Betis B selain pernah membimbing kelab Honduras, Motagua, kelab Filipina, Ceres-Negros, kelab Maldives, Maziya sebelum menyertai Borneo FC.

Sepanjang bergelar jurulatih, dia telah membantu kejuaraan ‘hat-trick’ Ceres-Negros dalam saingan Philippines Football League pada 2017, 2018 dan 2019 selain membawa Maziya menjuarai Dhivehi Premier League 2020-21. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast