Seramai 32 individu berusia 19 hingga 50 tahun ditahan dalam Ops Khas Tapis di Jerantut pada Ahad lalu kerana terlibat aktiviti penagihan dadah di Jerantut baru-baru ini.

KUANTAN – Seorang lelaki menghisap dadah di hadapan anaknya sendiri ditahan bersama 31 lagi individu lain dalam Ops Tapis Khas di Jerantut pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah seperrti syabu, heroin dan air ketum.

“Semasa operasi, seorang lelaki berumur 30-an sanggup membawa anaknya berumur lapan tahun memasuki ladang kelapa sawit yang dijadikan lokasi untuk menagih dadah.

Mazlan

“Polis berjaya menangkap seramai 32 orang lelaki lingkungan umur 19 hingga 50 tahun terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penagihan dadah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1)ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Jelas Mazlan, Ops Tapis Khas telah dijalankan bagi mengempur kawasan yang dijadikan lokasi penagihan dan aktiviti dadah serta serbuan rumah di sekitar daerah Jerantut.

“Polis IPD Jerantut terus menerus gempur aktiviti dadah di daerah ini, justeru usaha dan kerjasama dengan masyarakat tempatan membuahkan hasil,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat jenayah dialu-alukan menyalurkan maklumat tersebut ke IPD Jerantut di talian 09-2662222.

Sementara itu, dalam kes berasingan, pihaknya juga telah menahan seorang lelaki di bawah peruntukkan seksyen 3 (1) ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 kerana terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar daerah itu. – MalaysiaGazette